Abby nafi minta anak bercerai

Berita pernikahan pun tak pernah mengiyakan,  macam mana boleh kata saya suruh mereka bercerai pula?”

Itu respons pelakon Abby Abadi yang menafikan satu kenyataan kononnya ada menyuruh anaknya, Marissa Dania Hakim yang berikah senyap-senyap di Songkhla, Thailand bercerai seperti yang dilaporkan semalam.

Menerusi hantaran yang dikongsikan dalam InstaStorynya, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan memaklumkan tidak pernah mengiyakan tentang perkahwinan kontroversi membabitkan anak keduanya dengan lelaki yang dikenali sebagai Aslam itu.

Mana datang kenyataan ini? Saya tidak pernah mengiyakan tentang pernikahan (Marissa dan Aslam) di Thailand itu. Macam mana boleh kata saya suruh mereka bercerai pula?

“Tanpa rasa bersalah, reka cerita tanpa kesahihan. Kerja tanpa etika atau macam mana?” tulisnya.

Kata bekas anggota kumpulan Elite itu lagi, dia turut menafikan tuduhan membela Marissa  seperti yang dikatakan segelintir pihak.

Malah sebagai ibu, Abby juga mengakui tidak pernah menangkan (berpihak) Marissa selepas isu anaknya itu menjadi individu ketiga dalam rumah tangga orang lain hangat diperkatakan sejak tahun lalu.

Muktamad. Sebagai ibu, dari awal timbul isu ini saya tidak pernah bela dan menangkan anak saya. Kalau betul berlaku seperti yang digembar-gemburkan, Allah SWT sebaik-baik tempat mengadu dan semoga Allah melindungi anak-anak saya,” katanya.

Dalam hantaran sama, pelakon yang pernah membintangi drama kepolisian, Gerak Khas itu turut  berpesan kepada semua pihak agar berpada-pada dalam mengulas isu berkenaan.

Sesiapa sahaja yang mengambil (menulis) isu ini sebagai konten, boleh terus menulis apa sahaja.

“Tapi ingat, semua akan dipertanggungjawabkan okey. Berpada-pada,” katanya.

Bahkan dia juga berkongsi peringatan kepada orang ramai tentang dosa membicarakan tentang aib orang lain (mengumpat) yang tidak akan diampunkan, melainkan mendapat maaf daripada orang yang telah dizalimi itu.

Ingatlah, ada satu dosa yang tidak akan diampuni sekalipun kita taubat sejuta kali. Apakah itu? Iaitu tidak mendapatkan maaf dari orang yang telah kita zalimi, termasuk membicarakan aib orang lain (mengumpat),” kongsinya.

Semalam wanita berusia 46 itu hanya menzahirkan satu luahan berbunyi ‘Lawan semua dengan doa’ tanpa merujuk kepada sebarang isu ketika semua pihak mengharapkan kenyataan daripadanya.

Sejak kelmarin, nama Marissa, 19, kembali menjadi bualan ramai apabila didakwa sudah bernikah dengan Aslam yang berstatus suami orang secara senyap-senyap di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.

Difahamkan, pernikahan tersebut berlangsung ketika isteri pertama Aslam iaitu Umisya Mazlan sedang menunaikan umrah.

Bukan itu sahaja, pernikahan tersebut juga dikatakan berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa sendiri. –HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok