AKTOR terkenal Hong Kong, Aaron Kwok menzahirkan rasa terkilan apabila tidak dapat hadir ke Malaysia pada saat akhir bagi mempromosikan filem terbaharu lakonannya, Rob N Roll hari ini kerana mengalami masalah kesihatan.
Perkara itu dimaklumkan sendiri aktres yang terpaksa menggantikan tempat Aaron terbang ke negara ini.
Aaron atau nama lengkapnya Aaron Kwok Fu-shing, 59, dalam satu kenyataan kepada media berkata, dia kesal terpaksa membatalkan kehadirannya pada saat akhir berikutan masalah kesihatan sekali gus tidak dapat bertemu peminatnya di sini.
Sejujurnya saya kesal dan terkilan apabila tidak dapat hadir ke majlis tayangan perdana filem Rob N Roll hari ini di Malaysia kerana mengalami masalah kesihatan secara tiba-tiba.
“Atas nasihat doktor, saya disarankan untuk mengelak daripada menaiki penerbangan jarak jauh. Maka, saya terpaksa melupakan hasrat untuk bertemu dan mengubati kerinduan peminat di Malaysia,” katanya.
Untuk tidak menghampakan peminat, tempat pelakon dan penyanyi yang mula mencipta nama pada era 1980-an itu telah digantikan oleh aktres, Maggie Cheung yang terbang ke Kuala Lumpur, malam tadi.
Kata Maggie, selepas dimaklumkan perlu menggantikan tempat Aaron, dia bersetuju dan untuk terbang ke Malaysia bagi mempromosikan filem yang turut menampilkan pelakon, Gordon Lam.
Pada masa sama, Maggie atau nama sebenarnya Maggie Cheung Ho-yee mengakui bimbang memikirkan Aaron dan berharap sahabatnya itu kembali pulih.
“Saya sangat teruja apabila dapat datang ke Malaysia mempromosikan filem Rob N Roll, sekali gus bertemu dengan peminat di sini.
“Tapi pada masa sama, saya juga bimbang dengan tahap kesihatan Aaron dan berharap dia segera sembuh seperti sediakala. Sama-samalah kita doakan yang terbaik untuknya,” kata Maggie.
Filem Rob N Roll mengisahkan bekas ahli gusti, Mui Lam Tin lakonan Aaron Kwok yang bergelut dengan masalah hidup sehingga terpaksa memberanikan diri melakukan rompakan secara besar-besaran.
Pertemuannya dengan dua sahabat iaitu Robby lakonan Gordon Lam dan Mo Yung Fai (Richie Ren) yang bekerja di sebuah pusat jagaan secara tidak sengaja telah membentuk satu pasukan perompak.
Mereka kemudiannya diburu pegawai polis bernama Ginger, lakonan Maggie Cheung yang mahu menumpaskan jenayah tersebut.
Rob N Roll bakal ditayangkan di seluruh pagawam tanah air bermula 10 Februari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – HIBGLAM