9 vokalis hebat taruhan konsert Rock Legend Berzaman

SEJARAH tercipta apabila buat julung kali penggemar tegar seleksi rock malar segar era 1990-an berpeluang menikmati persembahan sembilan penyanyi legenda tanah air menerusi konsert Rock Legend Berzaman.

Selaku penganjur, wakil RAR Sky Entertainment berkata, misi menghimpunkan barisan vokalis yang bervokal emas tampak mustahil, namun atas permintaan ramai pihaknya berjaya merealisasikn hasrat tersebut.

Mengambil lokasi di Mega Star Arena Kuala Lumpur, sebanyak 32 lagu band rock otai bakal berkumandang dalam konsert berdurasi sekitar dua jam pada 3 Mac depan.

Ketua Pegawai Operasi RAR Sky Entertainment, Rose Azlin Rosli, berkata pihaknya berbesar hati dapat menyenaraikan vokalis legenda bersama seorang penyanyi terkenal generasi baharu iaitu Hazama pada konsert yang disifatkan sarat nostalgia tersebut.

GANDINGAN dua generasi, Hazama dan Ameng Spring diyakini dapat menarik orang ramai untuk menyaksikan konsert Rock Legend Berzaman yang akan berlangsung pada 3 Mac depan.

“Hakikatnya kami turut teruja menanti detik 3 Mac ini kerana penyanyi yang dipilih merancakkan konsert Rock Legend Berzaman bukan calang-calang apabila masing-masing pernah mencetuskan fenomena tersendiri.

Diharapkan persembahan mega yang tentu sahaja julung kali menghimpunkan sembilan vokalis hebat tanah air itu mampu mengubat kerinduan semua peminat muzik rock tanah air.

“Walaupun agak sukar menyatukan mereka atas satu pentas, misi ini tidak mustahil sekali gus bakal mencipta sejarah baharu dalam arena hiburan tempatan,” katanya pada majlis pengumuman konsert tersebut baru-baru ini.

Selain Hazama, barisan penyanyi otai yang bakal muncul memanaskan pentas ialah Muss May, Ameng Spring, Amir UK’s, Ezad Lazim, Shidi Data, Zamani Slam, Poey Sting dan Azan Scan.

Peminat tegar

Mengenai kriteria pemilihan artis, semuanya dicadangkan penaja utama persembahan mega berkenaan iaitu usahawan popular, Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli.

Menurutnya, minat mendalam terhadap lagu rock kapak serta band rock yang popular era 1980-an dan 1990-an mencetuskan idea penglibatan dan pemilihan penyanyi konsert berkenan.

PEMILIHAN barisan artis dilakukan Kak KM selaku penaja konsert. 

Bahkan, daripada respons orang ramai, semua nama yang akan dibariskan pada malam konsert mempunyai kelompok pengikut tegar masing-masing.

“Saya memang peminat tegar lagu bergenre rock jiwang dan ‘tangkap leleh’ bahkan sentiasa menyanyikan dendangan popular itu sambil memasak di dapur.

Lagi pun, saya membesar dengan lagu rock kapak yang membuatkan saya teruja apabila berpeluang menjalin kolaborasi untuk menganjurkan konsert ini.

“Saya harap peminat yang hadir akan terhibur dengan sembilan penyanyi ini dan kita boleh sing along sama-sama nanti,” katanya.

Tiket-tiket konsert berharga dari RM198 sehingga RM358 kini boleh ditempah menerusi laman web www.ticket2u.com.my. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok