DALAM kebanyakan drama Korea Selatan, genre epik menampilkan kehidupan golongan bangsawan mempunyai pengaruh kuat di hati peminat.
Selain menceritakan susur galur kehidupan diraja, naskhah sedemikian turut menyelitkan elemen percintaan dan komedi yang menjadikan jalan cerita lebih menarik.
Kekuatan kisah anak-anak raja atau perebutan kuasa zaman dahulu bukan sekadar fantasi, malah adakalanya boleh menjadi rujukan peminat sejarah pembentukan kerajaan moden Korea Selatan.
Daebak kali ini menyenaraikan beberapa naskhah era pemerintahan diraja terbaik yang sangat popular sehingga menjadi ingatan ramai.
Love In The Moonlight
DIADAPTASI berdasarkan daripada novel Moonlight Drawn by Clouds, naskhah Love In The Moonlight yang dilancarkan pada 22 Ogos 2016 turut mempunyai jumlah tontonan tertinggi.
Drama 18 episod berkenaan mencapai peningkatan penonton sebanyak 23.3 peratus di Korea Selatan dan dipuji dari segi lakonan dan skor muzik.
Love In Moonlight lakonan Park Bo-gum, Kim Yoo-jeong dan Kwak Dong-yeon tidak perlu diragui apabila memenangi Siri Drama Terbaik di Anugerah Televisyen Asia ke-22.
Naskhah berkenaan juga turut menerima enam pencalonan dalam Anugerah Seni Baeksang ke-53 dengan memenangi Anugerah Populariti bagi watak utama Park dan Kim.
Moon Embracing The Sun
DITAYANGKAN pada 4 Januari 2012, karya Moon Embracing The Sun menjadi sebuah lagi naskhah kisah diraja yang berjaya menambat hati peminat K-drama.
Dilakonkan Kim Soo-hyun dan Han Ga-in, drama berkenaan memaparkan perhubungan Raja Lee Hwon dan Wol.
Perhubungan mereka tidak disenangi permaisuri yang sentiasa berusaha menggagalkan impian mereka untuk hidup bersama.
Drama fantasi sejarah adaptasi daripada novel tulisan Jung Eun-gwol tersebut berjaya memenangi anugerah Drama Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik dalam kategori televisyen pada Anugerah Seni Baeksang ke-48.
Karya itu turut memenangi anugerah lain termasuk dalam Anugerah Drama MBC 2012 bagi kategori Drama Terbaik.
Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo
PEENAH menjadi kegilaan ramai, naskhah Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo yang ditayangkan pada 29 Ogos 2016 masih meninggalkan kesan di hati peminat K-drama sehingga hari ini.
Biarpun sudah berlalu selama hampir 10 tahun, ramai yang masih mengharapkan sekuel bagi Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo.
Dibintangi oleh pelakon-pelakon terkenal seperti, Lee Joon-gi, Lee Ji-eun, Kang Ha-neul, Nam joo-hyuk, Ji Soo dan Baek Hyun, Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo mengisahkan tentang seorang wanita bernama Go Ha-jin dari zaman sekarang yang telah terperangkap dalam dunia era Dinasti Goryeo.
Jumlah tontonan bagi naskhah berdasarkan novel berbahasa Cina yang berjudul Bu Bu Jing Xin tersebut juga mendapat rating tinggi di Malaysia dan Singapura.
The Red Sleeve
SEJAK dilancarkan pada 12 November 2021, The Red Sleeve yang dibintangi Lee Jun-ho, Lee Se-young, Kang Hoon, Jang Hee-jin, dan Oh Dae-hwan, menjadi antara naskhah terbaik pada 2021.
Bergerak atas jalur drama dan sejarah, naskhah berkenaan mengisahkan percintaan putera mahkota, Lee San lakonan Lee Jun-ho) bersama gundik bernama Sung Deok-im (Lee Se-young).
Selepas ditabalkan sebagai raja, Lee San berusaha menjadi pemimpin yang sempurna, namun selepas bertemu dengan Deok-im, dia mula menunjukkan sisi dirinya yang tidak diketahui umum.
Naskhah berkenaan turut memenangi banyak anugerah termasuk APAN Star Awards, Asia Artist Awards, Baeksang Arts Award, Japan Gold Disc Award, KBS Drama Awards, Korea PD Awards dan MBC Drama Awards.
Mr. Queen
KEHEBATAN Mr. Queen dikatakan bergantung kuat terhadap keserasian watak utama iaitu Shin Hye-sun dan Kim Jun-hyun.
Drama berkenaan mengisahkan kehidupan seorang cef kanan di pejabat Presiden Korea Selatan, Bong Hwan yang terperangkap dalam tubuh Ratu Cheorin pada pertengahan abad ke-19 Dinasti Joseon selepas satu kemalangan misteri.
Naskhah yang dilancarkan pada 12 Disember 2020 tersebut berdepan kritikan sejak awal ditayangkan. Ditulis berdasarkan drama web Cina berjudul Go princess Go (2015) yang diadaptasi dari novel dengan nama sama, segelintir individu berasakan penulis novel asal dari China iaitu Xian Chen membuat kenyataan menyinggung perasaan tentang budaya dan orang Korea dalam karya terdahulu.
Isu tersebut memaksa pihak penerbitan Mr. Queen membuat permohonan maaf secara terbuka.
Penerbit turut memohon maaf mengenai penyelewengan fakta berkaitan sejarah Korea.
Meskipun berhadapan kontroversi, Mr. Queen tetap menjadi drama menarik yang meraih jumlah tontonan tinggi. – HIBGLAM