Zainal Abidin bukan penghibur ‘kosong’

MENGETENGAHKAN konsep berhibur sambil mendidik, Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound yang berlangsung di Kuala Lumpur Performing Arts Centre, baru-baru ini ternyata bukan  konsert biasa.

Acara berdurasi hampir dua jam itu bukan sahaja terisi dengan persembahan mantap penyanyi legenda, Datuk Zainal Abidin, tetapi juga sarat dengan pengisian ilmu seni muzik untuk generasi pelapis hari ini.

Berbicara tentang penghibur berusia 65 tahun itu, siapa tidak mengenali pemilik vokal lantang berkenaan ketika membuat persembahan pentas.

Walaupun ketika menyanyi, senyuman pada bibirnya tidak pernah lekang atau menggugat lontaran vokalnya sewaktu menghiburkan peminat.

Membuka tirai konsert dengan lagu Bongkar, Zainal yang mengenakan sut rona jingga menghangatkan pentas apabila turut mempamerkan bakatnya bermain dram.

Sambil tangannya tangkas memukul instrumen tersebut, sekitar 500 penonton yang hadir turut bergoyang mengikut rentak lagu sambil bertepuk tangan tanda berhibur dengan persembahan ditampilkan.

SELEPAS hampir empat dekad berada dalam industri, Zainal telah melalui pelbagai pahit manis dalam arena seni hiburan yang cukup berwarna-warni.

Tidak menunggu, Zainal membuka cerita apabila berkongsi tentang kepayahan hidupnya sewaktu kecil.

Tidak seperti kanak-kanak lain, Zainal membesar dalam serba kekurangan selepas diserahkan kepada datuk dan neneknya sejak bayi lagi.

Tiga hari selepas saya lahir, saya diserahkan kepada datuk dan nenek untuk dijaga. Saya anak yang tidak diinginkan,” ujarnya.

Ujar penyanyi berusia 65 tahun itu, menjalani kehidupan tanpa dibesarkan oleh orang tua sendiri menjadi antara fasa ‘hitam’ yang pernah dilaluinya sewaktu masih kecil.

Lebih memeritkan apabila kepayahan yang dilaluinya itu, sedikit-sebanyak telah meninggalkan kesan terhadap fizikal dan mentalnya, lebih-lebih lagi selepas kematian datuk dan neneknya ketika dia berusia lapan tahun.

Tambah anak jati Johor Bahru, Johor itu lagi, kesusahan yang dilalui turut menuntutnya untuk mencari rezeki pada usia kanak-kanak apabila terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup.

Kehidupan saya sangat sukar ketika itu. Saya bekerja di jalanan dengan menjual ais kacang dan adakalanya bermain muzik dengan meng­gunakan kotak serta bangku sebab tiada duit.

“Saya minat muzik kerana datuk dan nenek adalah pemuzik dan penyanyi ketika saya membesar dengan mereka.

“Pernah juga saya bekerja sebagai buruh binaan dan menjadi tukang basuh pinggan untuk meneruskan kehidupan ketika itu,” ujarnya.

Enggan terus membiarkan penonton hanyut dengan kisah sedihnya, Zainal meneruskan acara dengan seleksi lagu popularnya seperti Damai, Sabar, Manis, Hijau dan Ikhlas Tapi Jauh.

PEMAIN perkusi terkenal, Steve Thorton (kanan) yang menjadi pemuzik pada malam tersebut, turut berkongsi pengalamannya sebagai pemain muzik.

Tidak bersendirian, dalam segmen berbeza, konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound turut menampilkan perkongsian tiga panelis lain yang berpengalaman dalam bidang muzik iaitu maestro muzik, Michael Veerpan, pemain perkusi, Steve Thorton dan jurutera bunyi, Sunil Kumar.

Tujuan perkongsian pengalaman mereka itu adalah untuk memberi pendedahan dan inspirasi kepada penonton yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) antaranya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Universiti Lim Kok Wing.

Pada malam tersebut, penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa Pija Yasin yang juga protege Zainal sewaktu menyertai program Mentor, selain One Juicy.

Acara penuh pengisian itu dilihat berjaya menjadi inspirasi kepada generasi hari ini, terutama anak muda yang bakal menjadi pelapis meriahkan industri muzik tanah air pada masa hadapan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok