Yim Si-wan tolak watak ‘makan diri’

SEDEKAD bergelar anak seni, Yim Si-wan antara aktor yang berjaya menempatkan diri sebaris dengan pelakon ternama Korea Selatan lain.

Belum berada dalam kelompok pelakon berkelas A, namun setiap naskhah lakonannya tidak pernah gagal mendapat tempat dalam kalangan pencinta drama Korea.

Emergency Declaration dan Unlocked antara filem lakonan Si-wan yang paling meninggalkan impak dalam kalangan peminat.

Sementara, Summer Strike, The Merciless dan Hell Is Other People pula antara drama popular diterajuinya sehingga meraih rating tinggi.

Tidak hanya filem atau drama, setiap watak yang dipegang Si-wan juga bukan biasa-biasa.

Boleh dikatakan hampir kesemua watak yang dijayakan adalah berbeza sehingga membiakkan pujian ramai.

Pada usia 34 tahun, Si-Wan berbesar hati kerana masih diberi kepercayaan untuk melakonkan watak pelajar sekolah dalam Once Upon A Boyhood.

Kini, dia sekali lagi mengulang kejayaan tersebut menerusi drama bergenre komedi, Once Upon A Boyhood.

Kerap dilabel sebagai pelakon yang bijak memainkan setiap peranan, Si-wan sebaliknya memberitahu karakter Jang Byeong-tae dalam drama tersebut bukan perkara yang mudah.

Kongsinya, itulah kali pertama dia menjayakan watak komedi dan mengakui agak sukar pada peringkat awal.

Memang sudah lama teringin untuk menjayakan karakter komedi dan apabila diberikan tawaran, saya tidak lagi menoleh ke belakang.

“Realitinya tidak mudah tetapi lama-kelamaan, semuanya menjadi mudah dan minat saya terhadap genre komedi juga bercambah,” katanya.

SELEKTIF tetapi bukan pilih bulu, Si-wan hanya mahu melakonkan watak yang mampu mencabar kemampuan dan membawanya keluar daripada zon selesa.

Memilih

Menyelusuri semua watak yang dijayakan sebelum ini, kebanyakannya sangat berat dan mencabar.

Pelakon yang popular menerusi drama Run On itu bertegas tidak akan sesekali menerima tawaran yang akan merosakkan atau mencalar reputasi kerjaya seni lakonannya.

“Sebelum setuju untuk mana-mana tawaran, saya akan membuat pertimbangan sama ada mampu atau tidak untuk melakukannya.

“Saya mahu menampilkan sesuatu yang berbeza dalam setiap karakter dan ingin jadi pelakon versatil.

“Saya tetap mahu menyahut setiap cabaran diberi dan itulah cara saya untuk terus hidup sebagai pelakon iaitu dengan pembuktian,” tuturnya lagi yang bakal muncul dengan drama Squid Game 2.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok