SETIAP hari saya berdoa tak jatuh apabila menunggang kuda kerana bimbang peranakan terjejas.”
Demikian perkongsian pelakon Nur Fazura yang mengakui gementar menggalas watak srikandi dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang menuntutnya manjayakan babak menunggang kuda.
Pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu mengakui dia risau memikirkan risiko berlakunya kecederaan di bahagian peranakan, sekali gus menjejaskan peluang mendapatkan zuriat pada masa akan datang.
“Bimbang juga memikirkan sekiranya saluran peranakan terjejas dan tak dapat menimang cahaya mata lagi selepas ini.
Saya pun pesan kepada adik-adik (pelakon wanita) lain supaya berhati-hati sebab kita tidak tahu apa yang bakal berlaku.
“Mujurlah semuanya berjalan lancar. Saya sendiri ada pengalaman menunggang kuda masa kecil, jadi ada keserasian dengan kuda yang ditunggang itu,” katanya kepada HibGlam.
Begitupun, ibu kepada seorang anak itu menafikan dirinya kini berbadan dua meski bersungguh-sungguh meluahkan kerisauannya itu.
“Buat masa ini bukan berita hamil yang ingin dikongsi. Saya dan Fattah mengambil langkah merancang keluarga kerana kesibukkan kami.
Lagipun, kami perlu patuh dengan kontrak yang sudah ditandatangani, kalau boleh tak mahulah hamil dalam keadaan terikat dengan kerja.
“Ketika mengandungkan Fatimah dulu saya pernah terlantar atas katil selama tiga bulan sebab alahan, tak mahulah disebabkan hamil, komitmen terhadap kerja terjejas,” ujarnya pada majlis tayangan filem Pendekar Awang:Darah Indera Gajah, hari ini.
Sebagai rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya pada 2 Oktober 2020.
Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah adalah merupakan prekuel kepada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menelan belanja RM15 juta itu bakal menemui penonton di pawagam pada 11 Januari ini. – HIBGLAM