[VIDEO] Wartawan hiburan beri bayangan mahu ‘pergi’ selama-lamanya

IBU kepada wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nur Hafiza Kamaruddin memaklumkan anaknya sempat memberi bayangan untuk ‘pergi’ selama-lamanya sebelum berlepas ke London.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ibu allahyarham Siti Nooriah Hassan, 69, mengenai gurauan Fiza yang menjadi kenyataan.

“Saya menemani Fiza selama dua minggu di rumahnya sebelum mereka sekeluarga berangkat ke sana (London) kerana keadaan kesihatannya agak kurang baik ketika itu.

“Waktu itu dia ada bergurau kata ‘mak along nak mati’. Tapi saya cakap pada dia, ‘orang sakit tak semestinya mati dan boleh sembuh’.

“Dia juga ada beritahu adiknya Siti Norhazlinda yang dia dah bosan tinggal di rumahnya, dia nak pindah duduk di rumah saya di Ampang dan dia juga bercadang nak pindahkan anaknya ke sekolah berhampiran rumah saya,” kata Siti Nooriah yang ditemui di Masjid Jamek Kg Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Siti turut memberitahu bahawa dia sempat melihati wajah anaknya buat kali terakhir menerusi panggilan video yang dibuat oleh suami Allahyarham.

“Mula-mula menantu buat panggilan video , Fiza memberikan respon. Kemudian Roshdi buat panggilan kali kedua tapi dia tak menyahut dan saya nampak dadanya berombak dan saya suruh ajarnya mengucap.

“Kemudian Roshdi hubungi sekali lagi, kali ini dia maklumkan Fiza sudah pun pergi,” katanya sebak.

Dalam masa sama, ibunya turut menyifatkan Fiza sebagai anak yang lebih mengutamakan keluarga.

“Dia macam perancang. Apa-apa acara dia akan buat semua.

“Kalau dia pergi makan di mana-mana tempat, dia akan bawa saya selepas itu.

“Dalam masa sama, dia juga sering kemas rumah saya sebelum raya dan tidak harapkan orang lain buat,” jelasnya dalam nada sebak.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor, hari ini.

Terdahulu, industri kewartawanan tanah air berduka selepas dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di London ketika bercuti di sana akibat pendarahan otak.

Fiza, 41, dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.

Allahyarham merupakan bekas pesakit kanser payudara namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.

Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini merupakan hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok