PENYANYI Wani Kayrie menzahirkan kesyukuran apabila pembedahan membuang benjolan atau ketulan hernia pada bahagian perut berlangsung dengan lancar, semalam.
Kata pemilik nama lengkap Syazwani Abdullah, 23, prosedur yang dilakukan di sebuah pusat perubatan itu mengambil masa sekitar dua jam untuk disempurnakan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar untuk pembedahan hernia saya semalam (Ahad) selama dua jam berada dalam bilik bedah.
“Saya masih berjuang (melawan kesakitan) kesan selepas pembedahan tersebut,” katanya dalam beberapa hantaran InstaStory.
Penyanyi lagu Jangan Terlepas Pandang itu memuatnaik perkongsian keadaan terkininya selain gambar di hospital bagi merungkai pertanyaan ramai.
Malah Wani juga menyatakan terima kasih atas keprihatinan
mereka yang tidak putus mendoakan serta bertanyakan khabar tentang dirinya.
Begitupun, dia meminta maaf tidak dapat membalas satu persatu mesej serta panggilan telefon berikutan kondisinya buat masa ini.
Terima kasih pada yang bertanya dan mendoakan saya. Insya-Allah saya akan kembali pulih dalam beberapa hari lagi. Saya dinasihatkan berehat dulu.
Sebelum ini, Wani mendedahkan dirinya menyepi seketika disebabkan perlu menjalani pembedahannya atas faktor kesihatan.
“Maaf lama mendiamkan diri untuk beberapa hari. Cuma nak beritahu bahawa saya akan menjalani pembedahan.
“Doakan agar urusan saya dipermudahkan ya. Jangan risau, saya baik-baik sahaja,” katanya ringkas.
Begitupun, penyanyi yang turut aktif di arena lakonan itu tidak memberikan perincian lanjut mengenai penyakit dihidapinya.
Pembedahan hernia adalah prosedur pencegahan bagi mengelakkan berlakunya komplikasi akibat benjolan tisu yang tersekat di bahagian perut.
Prosedur dilakukan kerana pesakit biasanya akan rasa sakit dan ketidakselesaan selain boleh mengakibatkan masalah penyumbatan usus andai dibiarkan. – HIBGLAM