Wan Hanafi Su menyanyi di YouTube

NAMA Wan Hanafi Su tidak perlu diperkenalkan dalam arena lakonan namun ada sebahagian besar peminat mungkin tidak tahu aktor prolifik itu dikurniakan keistimewaan dari segi vokal.

Akui anak seni berusia 74 tahun itu, selain terbabit dalam lakonan, dia turut aktif dalam nyanyian dengan berkongsi karya nukilan sendiri menerusi platform YouTube.

Kata pelakon berwajah serius itu, ramai tidak tahu dia sudah lama bermain muzik bersama kumpulan yang dinamakan Anak Baru Band selain menghasilkan lagu menggunakan nama Wanafisu.

“Mungkin orang lebih kenal saya sebagai pelakon, tetapi sebenarnya masa zaman muda lagi saya dah berjinak-jinak dengan nyanyian, buat lagu dan bermain muzik.

Sekarang pun saya masih aktif, cuma demi memenuhi minat dan lepas geram, untuk menyanyi sepenuh masa tidak mungkin tengok pada usia senja saya.

“Lagu-lagu yang saya hasilkan dikongsikan dalam YouTube Anak Baru Band Official,” katanya pada tayangan filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah, baru-baru ini.

Mengenai pembabitannya dalam filem berkisar perjuangan Tok Gajah melawan Inggeris itu, anak jati Terengganu terbabit bangga menjadi sebahagian daripada penggerak naskhah yang mencungkil kisah di sebalik kemerdekaan sejarah Tanah Melayu.

FILEM Pendekar Awang Darah Indera Gajah disifatkan sebagai naskhah untuk generasi muda mengenal perjuangan bangsa mempertahankan tanah air daripada penjajah.

Malah, penggiat seni yang menceburi kerjaya lakonan sejak 1970-an itu teruja dapat menggalas amanah untuk berkongsi ilmu kepada penonton terutama generasi muda.

Tambahnya, biarpun kebanyakan pengisian terdapat banyak elemen fiksyen, termasuk penambahan watak, asas penceritaan masih berpaksikan kisah sebenar.

Kita buat cerita ini bukan sekadar nak memenuhi kalendar industri filem tetapi memikul amanah berat sebagai pelakon untuk setidak-tidaknya memberi sesuatu kepada generasi akan datang.

“Ini juga merupakan kali kedua saya bekerja dengan aktor Fattah Amin dan saya rasa paling menyeronokkan apabila banyak pengalaman baharu kami raih bersama.

“Paling penting, karya terbitan Kembara Studio ini mengangkat sejarah orang Melayu yang pastinya mampu menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini,” ujarnya.

Gubal silibus sejarah

Pada masa sama, Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2013 itu turut meminta kerajaan kembali mengkaji seterusnya menggubal semula silibus mata pelajaran Sejarah di sekolah.

“Sudah sampai waktunya kementerian berkaitan memikirkan keperluan silibus terkini bagi mata pelajaran Sejarah dengan meletakkan fakta sebenar.

“Adakalanya, sejarah ditulis pun ada yang tak betul, malah kisah sejarah tentang peristiwa lampau juga ditokok-tambah penulis orientalis.

“Sebab itu saya menyokong usaha penerbit kerana mengangkat elemen sejarah yang lebih penting daripada keuntungan material,” ujarnya.

Filem berbajet RM15 juta yang ditayangkan mulai 11 Januari tersebut turut dibintangi Nur Fazura, Nadhir Nasar, Nam Ron, Amir Ahnaf dan Heliza Helmi.

Menemui penonton di 146 pawagam seluruh negara, ini juga merupakan sekuel daripada filem pecah panggung, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan pada 2022. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok