[VIDEO] Uqasha sah hamil anak sulung selepas dua kali keguguran

DESAS-DESUS berhubung berita kehamilan pelakon Uqasha Senrose terjawab apabila dia mengesahkan kini sedang berbadan dua dan bakal menjadi seorang ibu selepas dua tahun mendirikan rumah tangga dengan aktor Kamal Adli.

Pendedahan tersebut dibuat Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, menerusi akaun Instagram sebentar tadi.

“Syukur Ya Allah. Alhamdullillah, rezeki manusia berbeza-beza dan ini antara rezeki paling besar buat Qasha.

“Nervous (berdebar) dari nak menjadi isteri, sekarang berdebar untuk menjadi seorang ibu pula,” tulis Uqasha.

Menurut Uqasha, dia memilih untuk merahsiakan kehamilan kali ini kerana bimbang sebarang kemungkinan kerana pernah keguguran sebelum ini.

“Ramai yang tanya kenapa Qasha tidak jawab-jawab sebab dah (pernah) gugur jadi saya takut. Oleh itu, lebih baik saya sendiri yang cakap,” jelasnya yang pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali pada 2022.

Dalam pada itu bintang drama Akira Khan itu juga sempat meluahkan rasa sedihnya apabila ramai pihak yang menuduh keluarganya sukar untuk memiliki zuriat.

Justeru berita kehamilan ini cukup mengembirakan dirinya kerana secara tidak langsung turut membersihkan reputasi keluarganya yang tercalar akibat tuduhan tidak berasas itu.

“Jujur Qasha sedih bila orang cakap kenapa keluarga Senrose semua tidak ada zuriat, jadi apabila dapat tahu (berita kehamilan) Qasha bahagia sangat sebab aturan Allah itu dia yang maha mengetahui. Jodoh, ajal, maut dan rezeki semua dari Allah,” kongsi Uqasha lagi.

Uqasha yang juga kakak kepada aktres Nelydia dan Raysha Senrose itu berterima kasih kepada peminat dan semua yang mendoakan dirinya.

“Doa yang baik-baik untuk Qasha dan baby. Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Kamal Adli pada 5 November 2021.

Berita gembira itu dimuat naik Uqasha dalam Instagram berserta dengan video momen perkahwinannya dan foto ultrasound bayi.

Terdahulu, Uqasha memilih untuk mengunci mulut selepas Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Kajang, Datuk Saroni memuat naik foto yang memberi bayangan pasangan itu bakal bergelar ibu bapa. -HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok