SELEPAS lima tahun Bandar Raya Kuantan, Pahang tidak dimeriahkan dengan sebarang bentuk acara konsert, tanggal 24 Februari 2024 nanti bakal menyaksikan kemeriahan sebuah majlis gilang-gemilang di negeri Darul Makmur itu.
Dinamakan Pesta Muzik Kuantan, acara tersebut bakal menyaksikan kehangataan konsert disertai kumpulan muzik terkenal Indonesia, Ungu bersama barisan artis terkenal tanah air bertempat di Stadium Darul Makmur Kuantan.
Selain Ungu, Pesta Muzik Kuantan yang turut membabitkan artis terkenal seperti Khai Bahar, Ara Johari, Naim Daniel dan Nabila Razali serta penyanyi terkenal pantai timur, Eda Ezrin dan Den Manjo.
Menariknya, konsert istimewa tersebut dianjurkan khas bersempena menyambut kepulangan Yang di-Pertuan Agong (YDP) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kembali ke tampuk pemerintahan di Pahang.
Selaku penganjur, Showpro Entertainment, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Pahang dan negeri di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) untuk bersama-sama memeriahkan Pesta Muzik Kuantan yang bakal menyaksikan gabungan seni muzik dan budaya penduduk tempatan.
Penampilan Ungu yang cukup terkenal dengan rangkaian lagu-lagu hits seperti Kekasih Gelapku dan Cinta Dalam Hati turut mencatat sejarah tersendiri sebagai kumpulan Indonesia pertama yang dijemput memeriahkan Pesta Muzik Kuantan kali ini.
Pengarah Showpro Entertainment, Datuk Dr. Siva Nair berkata, penganjuran Pesta Muzik Kuantan adalah satu bentuk penghormatan buat Yang di-Pertuan Agong selain mahu menggabungkan muzik dengan kebudayaan masyarakat setempat.
Showpro Entertainment sangat berbesar hati menganjurkan Pesta Muzik Kuantan bersempena menyambut kepulangan Baginda ke negeri Pahang.
“Pesta ini tidak akan lengkap tanpa bintang jemputan terutama kumpulan Ungu yang memang sangat popular di Malaysia.”
“Ungu juga tidak pernah mengadakan persembahan di Stadium Darul Makmur secara khusus, maka ini adalah peluang terbaik untuk rakyat Pahang dan Pantai Timur datang ke sini menyaksikan persembahan kumpulan ini,” ujarnya.
Bagi kumpulan Ungu sendiri, lamaran Pesta Kuantan diibaratkan sebagai satu kesempatan yang tidak selalu ada.
Akui kumpulan tersebut, tiada sebab untuk menolak pelawaan sedemikian selepas melihat objektif yang mahu dicapai menerusi Pesta Muzik Kuantan.
“Terlebih dahulu, kami ingin berterima kasih kepada penganjur kerana memilih Ungu untuk turut serta di Pesta Muzik Kuantan. Ini mungkin akan menjadi pengalaman pertama kali kami bermain di hadapan penduduk Pahang dan rakyat Pantai Timur.
Tapi yang lebih istimewa lagi adalah penganjuran Pesta Muzik Kuantan ini bersempena dengan sambutan kepulangan Yang di-Pertuan Agong pulang ke Pahang.
“Ini menjadi satu penghormatan buat Ungu apa lagi berkongsi pentas bersama barisan artis tanah air dan bertemu peminat di kawasan Pantai Timur,” ujar vokalisnya, Pasha.
Selain acara hiburan, Pesta Muzik Kuantan juga mempunyai objektif untuk melestarikan budaya, merangkumi makanan dan produk tempatan kepada pengunjung dari pukul 11 pagi di pekarangan stadium.
Lebih mengujakan, Pesta Muzik Kuantan turut menawarkan harga tiket Rahmah kepada pengunjung serendah RM58, untuk menikmati segala persembahan dan hiburan sepanjang hari.
Tiket-tiket Pesta Muzik Kuantan berharga RM88 hingga RM628 kini boleh dibeli menerusi Ticket 2U atau menerusi talian 012-488 6225. – HIBGLAM