LAPAN tahun setia bersama Suria FM, khidmat Tyzo sebagai penyampai segmen Suria Petang di stesen radio itu tamat bermula hari ini.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi 2024.
Jalinan kerjasama Suria FM bersama Tyzo adalah tempoh kerjasama yang baik dan kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau.
“Suria FM sudah pun merangka strategi dan perancangan baharu bagi tahun ini dan seterusnya dalam memastikan jenama Suria FM kekal relevan serta memenuhi kehendak dan kepuasan pendengar.
“Perkembangan selanjutnya berkenaan program serta strategi Suria FM akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, pihak stesen radio turut mendoakan Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris berjaya dalam setiap lapangan yang diceburi.
Suria FM menyokong dan mendoakan Tyzo akan terus berjaya dalam bidang berkaitan atau bidang lain yang diceburi,” ujarnya.
Tyzo sebelum ini pernah bersama Suria FM pada 2007, namun meninggalkan stesen berkenaan selepas enam tahun berkhidmat.
Personaliti yang kembali semula ke Suria FM pada 2016 dinobatkan sebagai Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) Ke-35, tahun lalu.
Terdahulu, Tyzo menyertai dunia penyiaran bersama stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004 selain pernah menyumbangkan khidmat di stesen Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM. – HIBGLAM