PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencatat kejayaan peribadi selepas kira-kira 5,000 tiket konsertnya di Singapura, Fenomena Live in singapore habis terjual dalam tempoh kurang daripada dua jam, semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Siti, 45, dalam Instagram miliknya, penyanyi itu melahirkan rasa syukur dan gembira atas sambutan hangat peminatnya dari negara ‘seberang tambak’ itu.
Syukur tiket konsert di Singapura sudah habis dijual. Kita jumpa di konsert Fenomena nanti,” katanya.
Difahamkan, tiket konsert yang bakal berlangsung pada 29 Jun depan mula dijual pada pukul 10 pagi, semalam (Rabu).
Konsert berkenaan akan berlangsung di The Star Theatre, Singapura yang boleh menampung kapasiti sebanyak 5,000 penonton.
Bagaimanapun, situasi sama berlaku apabila ramai peminatnya dari Singapura merungut selepas gagal membeli tiket konsert tersebut apabila habis terjual dalam masa singkat.
Ramai peminatnya kecewa apabila mendakwa gagal melepasi laman web untuk membeli tiket kerana berlaku kesesakan dalam talian.
Sedihnya tak dapat beli tiket. Pertama kali gagal menonton konsert Siti,” ujar seorang peminatnya.
“Cepatnya tiket habis. Sepatutnya buat di stadium dengan kapasiti lebih besar,” kata seorang lagi peminatnya.
Hampa gagal membeli tiket konsert Siti,” kata seorang lagi peminat.
Sebelum ini, Siti mencipta kejayaan apabila tiket konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada 9 Mac nanti di Axiata Arena, Bukit Jalil, habis dijual dalam tempoh dua jam.
Meskipun mendapat permintaan ramai untuk mengadakan konsert selama dua malam, Siti bagaimanpun memberitahu tidak dapat berbuat demikian atas beberapa kekangan termasuk, tarikh yang semakin hampir dengan bulan Ramadan. – HIBGLAM