Tidak tercalon Oscar 2024, Greta Gerwig, Margot Robbie berputih mata

PRESTASI cemerlang Barbie sebagai filem teratas box office sepanjang 2023 sia-sia apabila sutradaranya, Greta Gerwig dan teraju utama, Margot Robbie gagal membolosi nominasi Oscar bagi kategori pengarah dan pelakon.

Bintang utama dalam filem Killers of the Flower Moon karya sutradara Martin Scorsese, lakonan hebat Leonardo DiCaprio juga tidak tercalon dalam kategori tersebut.

Meskipun Barbie dan Killers of the Flower Moon berhasil meraih dua dari 10 pencalonan filem terbaik, mereka terpaksa bersaing dengan naskhah hebat Oppenheimer yang mendahului senarai 13 kategori dalam Anugerah Akademi musim ini.

Oppenheimer mendapat pencalonan terbanyak secara keseluruhan, diikuti Poor Things serta Killers of the Flower Moon.

Beberapa bintang tersohor lain juga berdepan kekecewaan, antaranya Greta Lee yang yang tidak dipilih sebagai calon Pelakon Terbaik untuk peranannya dalam drama romantis dalam Past Lives.

Begitu juga dengan Penelope Cruz dalam Ferrari yang hanya berputih mata meskipun mendapat ulasan positif bagi karakter dalam naskhah terbabit.

Lebih mengejutkan apabila pelakon senior Bradley Cooper tidak masuk dalam daftar nominasi sutradara terbaik untuk filem arahannya berjudul Maestro, namun aktor tersebut dicalonkan dalam kategori Pelakon Terbaik untuk peranannya sebagai komposer dan konduktor, Leonard Bernstein.

Sementara itu, walaupun Robbie terlepas peluang untuk tercalon dalam nominasi pelakon, rakan gandingan di filem America Ferrera, Ryan Gosling pula dapat duduk sebagai calon, sekali gus mengejutkan ramai.

Gosling dicalonkan untuk pelakon pembantu terbaik, manakala lagu yang dibawakannya dalam filem terbabit, I’m Just Ken dicalonkan untuk lagu asal terbaik.

Begitupun, lagu tersebut bakal menghadapi saingan sengit daripada lagu lain daripada filem yang sama iaitu What Was I Made For? Nyanyian Billie Eilish.

Selain itu, pencalonan Barbie lain adalah bagi reka bentuk produksi dan rekaan pakaian terbaik

Dengan 13 nominasi, Oppenheimer meninggalkan jauh rata-rata pesaing lain.

Epik tiga jam Christopher Nolan tentang ahli fizik teori J Robert Oppenheimer itu berada dalam senarai lakon layar terbaik, bahkan Nolan pula calon pengarah terbaik.

Poor Things yang berkisar bayi yang otaknya telah dipindahkan ke dalam badan wanita dewasa, merupakan filem kedua paling banyak dicalonkan iaitu 11 nominasi.

Martin Scorsese’s Killers of the Flower Moon yang memaparkan pembunuhan ahli suku India Osage, mendapat 10 pencalonan.

Menyusul dengan tujuh pencalonan adalah Maestro, biopik tentang komposer Leonard Bernstein lakonan Cooper.

Majlis gilang gemilang itu bakal dikemudi hos terkenal Jimmy Kimmel yang akan berlangsung di Los Angeles pada 10 Mac nanti. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok