Tiada penambahan hari konsert – Siti Nurhaliza

SAYA minta maaf, tiada penambahan hari untuk konsert saya pada 9 Mac nanti”.

Itu kata penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila dengan berat hari mengumumkan tidak dapat menambah bilangan hari konsertnya atas faktor kekangan waktu.

Siti, 45, ketika ditemui HibGlam berkata, dia sedia maklum ramai meminta pihaknya menambah bilangan hari konsert selepas gagal mendapatkan tiket persembahan berskala besar, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang habis terjual dalam masa dua jam, pada 21 Disember lalu.

“Saya minta maaf, dengan berat hati saya terpaksa memberitahu tidak dapat menambah bilangan hari atau tiket konsert atas faktor kekangan waktu.

“Seperti yang semua sedia maklum, jika saya adakan pada 10 Mac, tarikh tersebut sudah terlalu hampir dengan bulan Ramadan. Sesi latihan terakhir teknikal dan produksi konsert pula pada 8 Mac.

“Saya sudah cuba fikir semasak-masaknya untuk menambah satu hari lagi atau awalkan tarikh. Tapi masih tidak boleh,” katanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk)

Ujar pelantun lagu Nirmala itu, dia berharap kekecewaan peminat yang tidak dapat membeli tiket konsertnya itu berbalas dengan penganjuran konsert lain pada masa akan datang.

Untuk konsert seterusnya, saya harap peminat saya akan lebih teruja dan bersedia. Jika diberikan ruang dan kesempatan, Insya-Allah saya akan buat konsert untuk dua hari,” katanya.

Dalam masa sama, Siti yang ditemui semasa sidang media konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza, hari ini turut memaklumkam, penyanyi Judika bakal menjadi penyanyi undangan pada konsertnya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil nanti.

“Dikesempatan ini, saya juga ingin umumkan penyanyi undangan yang juga sahabat baik saya, Judika bakal menemani saya nanti,” katanya.

Tambah Siti lagi, sebahagian jualan tiket konsertnya itu akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa bagi membantu umat Islam di Palestin.

Pada 21 Disember lalu, jualan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh dua jam selepas dibuka untuk jualan.

Rata-rata peminat yang gagal mendapatkan tiket konsert penyanyi nombor satu negara itu menzahirkan rasa kecewa dan memohon agar Siti menambah bilangan hari konsertnya kepada dua hari.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok