Tiada ‘gender reveal’ ala barat, hanya doa selamat – Uqasha

AKTRES jelita Uqasha Senrose yang kini hamil anak sulung memilih untuk tidak mengikut trend ‘gender reveal’ ala barat untuk mengumumkan jantina anaknya, sebaliknya mengikut budaya Melayu dengan mengadakan majlis doa selamat.

Menurut Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, dia dan suaminya, pelakon Kamal Adli sangat berhati-hati dengan kehamilan kali ini dan mahu merahsiakan jantina bayi.

Sebab pernah keguguran sebelum ini saya memang sangat berhati-hati. Jadi, saya dan Kamal sepakat untuk tidak mahu mengetahui jantina bayi.

“Kami akan umumkan jantina bayi dalam sebuah majlis doa selamat nanti. Tidaklah buat majlis ‘gender reveal’ seperti orang barat sebaliknya lebih kepada tradisional kita,” kongsi Uqasha.

Bintang drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu juga mendedahkan tidak melakukan sebarang persiapan kerana belum mengetahui jantina anak dalam kandungan.

Belum beli barang-barang bayi lagi, saya tidak tahu hendak mula dari mana. Tunggulah selepas majlis doa selamat dan tahu jantina bayi barulah saya buat persiapan,” kata Uqasha.

Meskipun berdebar dan teruja menyambut anak pertama, Uqasha memberitahu dia terpaksa berdikari sepanjang tempoh kehamilan memandangkan Kamal terlibat dengan penggambaran drama di luar daerah.

Sungguhpun begitu, Kamal meminta ibu Uqasha dan kakaknya untuk menemaninya di rumah.

“Sejak hamil saya lihat Kamal bekerja lebih keras. Jika dahulu dia memilih juga kerja tetapi sekarang mana rezeki yang datang dia akan cuba buat.

“Dia mahu memastikan keperluan saya dan anak cukup. Oleh itu, sekarang saya banyak ditinggalkan Kamal sebab dia menjalani penggambaran di luar daerah. Tetapi setiap hari dia akan hubungi saya untuk pantau keadaan saya dan anak dalam kandungan.

“Saya juga masih sibuk bekerja dan kini menjalani penggambaran drama Jangan Lupa Janji,” ujar Uqasha ketika menghadiri majlis resepsi perkahwinan penyanyi Amylea Azizan baru-baru ini.

Uqasha yang mendirikan rumah tangga dengan Kamal Adli pada 5 November 2021 sebelum ini pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali.

Kali pertama selepas pulang dari Tanah Suci Mekah beberapa bulan selepas berkahwin dan kali kedua sekitar November 2022. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok