SELEPAS meraih kutipan melebihi RM6 juta, filem seram versi reboot Rahsia melebarkan pengaruh apabila menembusi pawagam Kemboja bermula pada 15 Januari lalu.
Penerbit Eksekutif Rahsia merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sambutan terhadap naskhah itu menunjukkan penerimaan penonton luar, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada filem terbitan tempatan yang lain.
“Alhamdulillah, sebuah lagi filem tempatan berjaya diangkat dan ditayangkan di luar negara luar.
Sebagai penerbit yang aktif di Malaysia, kami mengharapkan usaha ini dapat membuka peluang
lebih banyak buat filem-filem kita untuk dibawa ke sana.
“Pada masa sama merapatkan jurang karya tempatan di peringkat serantau di samping mampu mengembangkan jenama Astro Shaw di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut Jesnita, plot serta pengajaran yang digarap dalam kisah sarat kejutan itu menepati kehendak serta memenuhi cita rasa kaki wayang di rantau ini.
Rahsia mempunyai jalan cerita yang universal dan elemen Nusantara yang diselitkan amat dekat dengan penonton Asia, jadi naskhah ini turut mampu menepati cita rasa penonton di sana,” ujarnya
Bagi pasaran Kemboja, filem terbitan terbitan Astro Shaw bersama Five Star Trading ditukar judul kepada Heir of the Black Magic.
Sebagai rekod, tahun lalu Rahsia berjaya mencatatkan kutipan pawagam RM6.2 juta.
Filem ini merupakan arahan Shamyl Othman yang juga anak kepada pengarah filem asal iaitu Othman Hafsham, manakala skrip pula dihasilkan penulis siri popular One Cent Thief, Alfie Palermo.
Rahsia membariskan pelakon handalan tanah air iaitu Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak serta Qistina Raisah.
Mengisahkan Ramlah yang pulang bercuti ke rumah bapanya, Tan Sri Karim bersam suami serta dua anak mereka, Marina dan Saiful.
Namun, keadaan bertukar tegang apabila Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di pantai dan Ramlah mula diganggu kelibat anaknya. – HIBGLAM