‘Tak perlu mesej pelakon wanita di luar set penggambaran’

MELETAKKAN sempadan dengan aktres gandingan apabila hanya akrab di set penggambaran menjadi amalan pelakon Shukri Yahaya bagi mengelak gosip liar.

Kata Shukri, dia sentiasa menjaga hubungan baik sesama rakan sekerja termasuk wanita, namun lebih selesa tidak terbawa-bawa watak sehingga ke luar penggambaran.

“Saya takkan teruskan kemesraan di luar lokasi dengan pelakon wanita sebab tahu setakat mana had selepas waktu kerja.

Semuanya habis di set, tak perlu pun bermesej semata-mata nak tanya atau bincang pasal watak. Jika perlu, kita hubungi saja pengurus atau pembantu peribadi artis tersebut.

“Andai boleh elak kita elak, bukan kata kita baik, cuma lakonan adalah kerja dan punca rezeki, jadi saya perlu profesional” katanya kepada HibGlam.

Mengulas dakwaan antara pelakon menerima bayaran paling tinggi, pemilik nama lengkap Mohd. Shukri Yahaya, 36, itu berkata, harga ditetapkan bersesuaian dengan komitmen untuk sesebuah naskhah.

Tegasnya, setakat ini belum ada penerbit menolak kadar diminta, sekali gus menunjukkan bayaran ditetapkan tidak setinggi yang diperkatakan segelintir pihak.

“Sebenarnya saya sendiri tak pasti harga yang diletakkan ini mahal atau tidak sebab saya pun tak tahu harga orang lain.

“Harga yang saya letakkan ini pun bersesuaian dengan apa yang saya beri berdasarkan kualiti kerja, kesungguhan serta pengalaman.

“Setakat ini, penerbit tidak pernah tolak tapi sentiasa ada ruang perbincangan. Saya masih boleh bertolak ansur,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Layang-Layang Perkahwinan, baru-baru ini.

Pada masa sama, biar didakwa ‘nakal’ dalam banyak naskhah termasuk menerusi drama bersiri terbaharu yang memaparkan babak kontroversi bilik mandi dengan  dengan pelakon Alya Iman, tegas Shukri semua itu sekadar tuntutan skrip. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok