Tak mudah jadi deejay radio kerajaan – Farhan Asri

KETIKA awal pembabitan dalam bidang seni selepas muncul naib juara pertandingan Hero Remaja 2017, pelakon Farhan Asri pernah menyimpan impian untuk bergelar seorang penyampai radio.

Namun, rezekinya ketika itu lebih menjurus ke arah bidang lakonan terutama apabila dihujani banyak tawaran drama.

Masa berlalu, impian bergelar penyampai radio tidak pernah padam sehinggalah rezeki yang dinanti-nantikan itu akhirnya muncul.

Sejak sebulan lalu, pelakon berusia 27 tahun itu bergelar deejay Radio Televisyen Malaysia (RTM), Negeri FM yang berpangkalan di Negeri Sembilan.

Kata Farhan, tawaran menjadi penyampai Negeri FM hadir tanpa disangka apabila dia dipanggil hadir dalam satu sesi uji bakat di stesen radio sepenuhnya milik kerajaan itu.

“Sejak sebulan lalu saya telah memulakan kerjaya baharu sebagai penyampai radio di stesen Negeri FM, Negeri Sembilan.

“Saya dipanggil temu duga dan selepas beberapa minggu, saya ditawarkan menyertai Negeri FM sebagai penyampai. Sekarang saya masih dalam tempoh percubaan selama dua bulan,” kata pelakon tinggi lampai itu.

Ujar pelakon drama Cukup Derita Itu lagi, dia sebenarnya bercita-cita untuk berada dalam konti sebagai penyampai radio sejak menyertai pertandingan Hero Remaja, namun impian tersebut terpaksa dilupakan seketika demi memberi laluan terhadap lakonan.

“Saya pernah ditawarkan menjadi penyampai radio sebuah stesen swasta, namun saya terpaksa tolak kerana jadual padat dengan penggambaran. Saya takut tidak dapat membahagikan masa ketika itu,” katanya.

Bercerita tentang pengalaman yang dikutip bergelar seorang penyampai radio di Negeri FM, Farhan mengakui kerjaya di konti tidak semudah seperti yang disangka.

Tambahan pula, dia menjadi penyampai di sebuah stesen milik kerajaan yang mementingkan penggunaan bahasa dan cara penyampaian mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Sesetengah orang berpendapat, bekerja dalam konti mungkin mudah, hanya perlu bercakap. Hakikatnya sangat mencabar, terutama untuk penyampai baharu seperti saya.

“Penggunaan bahasa dan cara penyampaian juga berbeza memandangkan saya bertugas di stesen radio milik kerajaan iaitu RTM.

“Jadi ada piawaian dan kriteria yang perlu saya patuhi. Alhamdulillah, setakat ini, saya menerima respons positif daripada pihak stesen. Saya sendiri pun sangat gembira dengan bidang baharu ini,” kata anak jati kelahiran Negeri Sembilan itu.

Pada masa sama, Farhan yang mengendalikan slot petang dari pukul 2 hingga pukul 6 petang, setiap hari Isnin Isnin hingga Jumaat itu turut belajar untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin, terutama berkaitan pengurusan masa.

“Selepas sebulan bergelar penyampai radio, apa yang saya dapat belajar adalah untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin, terutama berkaitan masa.

“Jadi penyampai radio, saya kena on time (tepati masa). Tidak boleh lewat kerana radio sentiasa ke udara selama 24 jam.

“Kalau saya lambat, akan ganggu proses siaran radio. Jadi saya kena uruskan masa dengan betul supaya tidak mendatangkan masalah kepada orang lain,” tegasnya.

Dalam pada itu, Farhan juga perlu meningkatkan lagi pengetahuannya terhadap isu-isu semasa dalam dan luar negara dengan banyak membaca supaya dapat berkongsi info dan maklumat kepada pendengar.

“Sejujurnya, saya memang sudah jatuh cinta dengan bidang penyiaran radio dan berharap supaya pendengar berpuas hati dengan cara penyampaian saya,” katanya yang masih meletakkan lakonan sebagai cinta pertama.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok