“KALAU kena hujan mesti selesema dan sakit tekak hingga tidak boleh menyanyi berminggu-minggu.”
Demikian kata penyanyi Ara Johari yang mengakui tidak boleh terkena air hujan kerana mudah jatuh sakit sekali gus mengganggu suaranya.
Ara atau nama lengkapnya Nurfarrah Izatie Johari, 27, berkata, sebelum ini dia tidak mempunyai masalah jika terkena air hujan, namun kini tahap kesihatannya ternyata berbeza.
Sekarang saya sangat mudah hilang suara jika terkena hujan. Kalau kena (hujan), saya mesti terus mandi. Kalau tidak, akan dapat selesema dan seterusnya sakit tekak.
“Banyak sangat pantang sekarang. Bila batuk, saya tidak boleh menyanyi selama berminggu-minggu. Berbeza dengan dahulu. Saya tidak ada masalah dengan hujan. Malah saya lagi suka membuat persembahan ketika hujan kerana berasa lebih puas,” ujarnya kepada HibGlam.
Justeru, masalah yang dialaminya itu sedikit sebanyak membuatkan Ara berasa kurang motivasi dan perlu lebih berhati-hati dengan mengelak daripada terkena hujan.
Rasa kurang motivasi juga, sebab dari kecil saya sudah terbiasa mandi hujan. Biasalah, saya budak kampung. Tapi sekarang saya memang terasa bila mudah jatuh sakit,” katanya.
Pelantun lagu Bunga itu tidak menolak masalah yang dialaminya itu bermula selepas empat kali dijangkiti Covid-19 sebelum ini.
“Saya pernah kena Covid-19 sebanyak empat kali dan Influenza sekali. Justeru, pernafasan saya pun sangat teruk sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, Ara yang ditemui semasa sidang media konsert Pesta Muzik Kuantan Bersama Ungu dan Artis Tanah Air baru-baru ini bersyukur kerana sehingga kini dia masih mampu memberikan persembahan yang baik dan dapat memenuhi undangan untuk menyanyi.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah lagi batalkan mana-mana persembahan walaupun sakit.
“Rezeki saya juga, apabila tiap kali sakit tekak, saya masih mampu menyanyi nada tinggi dan beri persembahan terbaik meskipun dalam keadaan suara saya yang kedengaran sedikit kasar.
“Selain mengelak hujan, doktor turut menasihati saya untuk tidak makan makanan pedas dan minuman berais,” jelasnya. – HIBGLAM