Syok sendiri itu perlu – Margasatwa

MEKSI Margasatwa bukan lagi nama asing dalam gelanggang muzik tanah air, karya yang diperjuangkan band yang bernaung di bawah label  Luncai Emas Sdn. Bhd. itu masih belum benar-benar memenuhi kehendak ramai.

Dianggotai Kimal selaku vokalis, Shadiq (bass), Fadhil (gitar), Sammy (gitar) dan Syahir, mereka sedikit pun tidak berasa tersisih sebaliknya bangga punya kelompok peminat tersendiri.

Tampil dengan single terbaharu berjudul Kasa Rubia, terbukti semangat juang Margasatwa tidak pernah luntur.

Malah, tidak mengejar keberadaan dalam pasaran ‘mainstream’ adalah prinsip yang dipegang mereka sejak hampir sedekad bergelar anak seni.

Mereka yang sebelum ini popular menerusi lagu Ego mengakui kerap dilabel sebagai ‘band syok sendiri’ kerana jenis muzik yang diketengahkan.

Kami memang pentingkan elemen syok sendiri. Seorang pemuzik itu perlu ada sikap tersebut dan pelik jika tiada perasaan tersebut.

“Kalau tidak syok sendiri, pastinya karya yang dihasilkan lebih kepada ingin mengaut keuntungan semata-mata atau mempunyai agenda lain dan bukannya untuk berkarya,” kata Fadhil.

SINGLE terbaharu berjudul Kasa Rubia menyaksikan Margasatwa bekerjasama dengan penyanyi Loque selaku penerbit bersama.

Tegasnya lagi, Margasatwa sangat mementingkan nilai estetik dan identiti muzik dalam setiap karya yang dihasilkan.

“Kami utamakan apa yang kami suka berbanding apa yang orang mahu dengar.

Kalau kami tak suka karya sendiri, bagaimana untuk serahkan jiwa sepenuhnya pada lagu tersebut dan membuat orang suka untuk mendengarnya?

“Sekiranya pendengar boleh mengesan lagu kami ada unsur syok sendiri, mereka memang bijak,” katanya lagi.

Fadhli bagaimanapun berkata, mereka masih dalam tahap yang sepatutnya bagi menghasilkan sesebuah lagu dan bukan sekadar ‘syok sendiri’.

“Kami amat titikberatkan kepelbagaian muzik dan bunyi dalam setiap lagu.

Elemen tersebut yang menjadikan karya yang Margasatwa  hasilkan bertambah ‘manis’ dengan adanya warna-warni elemen muzik seperti pop, klasik rock, tradisional dan sebagainya,” tuturnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok