‘Sudah-sudahlah lagakan kami’

PENYANYI  Ernie Zakri dan Nadeera Zaini nafi bermasam muka, malah bersetuju untuk menutup buku kontroversi yang timbul susulan isu penyanyi gantian di Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM 38) Disember lalu.

Menurut Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, sebagai penyanyi profesional dia enggan mencari masalah dengan mana-mana pihak terutama dengan rakan industri.

Kami memang tidak ada masalah. Malah kami juga sudah berbincang mengenainya. Semua yang berlaku (kontroversi) berpunca daripada salah faham.

“Industri kita kecil sahaja dan tidak perlu ada pergaduhan dengan sesiapa. Kalaulah kami bergaduh, mesti kekok bila berjumpa.

“Saya memahami situasi Nadeera dan begitu juga sebaliknya. Kami berada di tengah-tengah ketika isu ini timbul, tetapi syukur semuanya sudah selesai. Doakan yang baik-baik kerana kami berdua hanya mencari rezeki dalam industri seni,” ujar Ernie.

Ernie dan Nadeera ditemui di majlis sidang media konsert Voice of the Heart di Putrajaya semalam.

Sementara itu, Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 31, memohon semua pihak agar berhenti daripada terus menjadi batu api dengan mereka-reka cerita yang tidak benar mengenai hubungannya dengan Ernie.

NADEERA meminta orang ramai agar berhenti melaga-lagakan dirinya dengan Ernie Zakri.

Namun, Nadeera menerima setiap komen yang diberikan termasuk membandingkan mereka berdua dengan hati yang terbuka.

Sudah-sudahlah lagakan kami. Tiada isu besar pun. Semuanya sudah selesai.

“Saya tidak salahkan peminat kerana mereka tidak tahu cerita sebenar. Kalau saya letak diri di tempat peminat Ernie saya pun akan marah.

“Tetapi saya menerima segala komen mereka dengan hati terbuka dan telah memaafkan semua orang,” kata Nadeera.

Kontroversi tercetus apabila Nadeera diumumkan menjadi pengganti Ernie untuk lagu Astana di pentas SFMM38 tanpa pengetahuan Ernie yang merupakan komposer dan penyanyi asal lagu tersebut.

Isu tersebut akhirnya selesai apabila Ernie mengumumkan akan menyanyikan sendiri lagu ciptaannya itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok