PELAKON jelita dan usahawan Rozita Che Wan mengaku tidak pernah melakukan sebarang rawatan suntikan untuk mengekalkan kecantikan wajahnya.
Menurut Rozita atau Che Ta, suaminya, Zain Saidin melarangnya melakukan sebarang rawat yang boleh mengubah wajah.
Saya teringin juga lakukan rawatan seperti suntikan sebab ramai yang buat, tetapi suami tidak benarkan dan tidak suka dengan wanita yang ‘buat muka’.
“Dia okey andai kulit saya berkedut seiring dengan peningkatan usia. Jadi, saya tidak buat sebaliknya hanya jaga kulit dengan produk yang sesuai dan rawatan ‘facial’ biasa.
“Sebenarnya Zain tidak pernah larang untuk saya lakukan apa-apa kecuali dia selalu tegur bab pakaian dan aurat,” kata Che Ta atau nama sebenarnya, Rozita Abu Bakar.
Ingin melihat ramai wanita menjaga kecantikan wajah, pengasas jenama by RCW itu muncul dengan produk Glow Edition pada tahun ini.
Set Glow Edition yang berharga RM59.90 itu, mengandungi tiga produk iaitu serum Cekang Jelita, foundation pelindung matahari dan sabun pencuci wajah (gold bar soap) dan telah menjalani sesi penyelidikan selama enam bulan sebelum di keluarkan di pasaran.
Serum Cekang Jelita jika dipakai kulit akan tegang dan anjal. Mahu cantik pada usia emas jangan tunggu berusia mahu cari produk seperti ini.
“Tetapi muda-muda lagi perlu jaga dan amalkan penjagaan wajah dan perlu konsisten tidak kira apa produk yang dipakai,” ujar Che Ta yang menggunakan sistem stokis dan jualan di TikTok untuk menjual produknya.
Tambahnya, dia memilih untuk mengeluarkan produk mampu milik kerana mahu semua golongan wanita kelihatan cantik.
“Saya tidak mahu dengar ayat, ada duit baru boleh cantik. Sebab itu saya keluarkan produk yang semua wanita mampu beli.
“Set yang disediakan juga ringkas sesuai untuk wanita yang sibuk dan mahukan penjagaan asas wajah,” tutur Che Ta yang ditemui pada majlis pelancaran produk serum Cekang Jelita semalam.
Sambung Che Ta lagi, tahun ini jenama by RCW bakal melancarkan lima produk pada tahun ini.
“Tahun lepas memang saya tidak keluarkan sebarang produk kerana mahu jalani proses penyelidikan yang memakan masa.
“Oleh itu, tahun 2024 by RCW akan muncul dengan produk baharu setiap dua minggu termasuk produk penjagaan badan,” kongsi Che Ta. – HIBGLAM