[VIDEO] Suami lega dapat tunai hajat terakhir arwah Fiza

SUAMI kepada wartawan hiburan Allahyarham Fiza Kamaruddin, Mohd. Roshdi Ramli meluahkan rasa syukur dapat menunaikan hajat terakhir isterinya untuk bercuti bersama keluarga di London, England pada Disember lalu.

Roshdi,41, berkata, dia akan berasa terkilan sekiranya tidak dapat menunaikan hasrat terakhir arwah isterinya itu.

“Dia memang ada lahirkan hasrat untuk bercuti di London dan sepanjang  tempoh percutian, arwah memang tidak menunjukkan sebarang petanda aneh.

“Dia kata kalau bukan sekarang, bila lagi mereka akan bercuti bersama. Alhamdulillah saya dapat tunaikan hasratnya dan meluangkan masa melihat sekitar kota London,” katanya selepas majlis pengebumian di di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih di sini, hari ini.

Berkongsi momen terakhir bersama isteri, Roshdi berkata, dia dan anak-anak tidak sempat berada di sisi arwah.

“Saya dan anak tidak sempat berada di sisi semasa arwah sedang nazak. Kami hanya tinggalkannya selama 10 minit untuk pergi makan.

“Arwah seolah-olah tidak mahu kami sedih melihat dia ‘pergi’,” ujarnya dalam nada sebak.

Mengenai reaksi anak-anak, Roshdi atau lebih mesra disapa Dodi memaklumkan mereka reda dengan ketentuan Ilahi.

“Mula-mula, memang sedih tetapi saya cuba tenangkan mereka.

“Selepas saya tenangkan mereka, barulah mereka faham dan reda pemergian ibunya.

“Saya kena tunjuk kuat di depan mereka , kalau tidak mereka akan sedih,” jelasnya.

Dalam pada itu, majikan yang juga pemilik portal Boom dan Jurnal Malaysia, Datuk Norman Abdul Halim menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar pada syarikatnya.

Malah, Norman memaklumkan Allahyarham Fiza merupakan pekerja yang berdedikasi dalam menjalankan tugas sebagai wartawan dan pengarang berita.

“Arwah bersama kami lebih kurang setahun sejak Disember 2022. Dia sangat komited dengan kerja walaupun sedang bercuti di London, dia tetap memantau setiap artikel.

“Kehilangan arwah sangat besar untuk kami kerana dia sentiasa inginkan yang terbaik untuk memajukan portal kami,” ujarnya.

Terdahulu, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Jalan Karak-KL pada pukul 12.50 tengah hari tadi.

Industri kewartawanan tanah air berduka selepas dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di London ketika bercuti di sana akibat pendarahan otak.

Fiza atau nama lengkapnya Siti Nurhafiza Kamaruddin dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.

Allahyarham merupakan bekas pesakit kanser payudara namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.

Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini merupakan hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok