Suami difitnah Fatiya Latiff, Heliza Helmi tidak terkesan

NAMA suami terpalit tuduhan gagal menyiapkan rumah pelakon Fatiya Latiff, pengacara dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi mengakui tidak terkesan memandangkan dakwaan tersebut hanya dakwaan palsu.

Meskipun tidak mengetahui motif pelakon drama Ariana Rose itu, Heliza atau nama penuhnya Nur Heliza Helmi, 38, memilih untuk memahami kondisi kesihatan mental aktres berkenaan.

Masa mereka buat ‘live’ , saya betul-betul tak tahu apa-apa, tapi bila ada orang ajukan video berkenaan, jujurnya saya faham.

“Saya tidaklah mengenali Fatiya secara rapat dan tapi bila dia keluarkan kenyataan macam itu, saya rasa satu Malaysia sudah faham keadaan dia.

“Jadi tanpa perlu saya mengeluarkan apa-apa kenyataan sekalipun, orang akan faham dan pada saya mungkin ini adalah masa dia diuji dan apa yang diperlukan adalah doa dari seluruh mukmin,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya sama ada bakal mengambil tindakan undang-undang atas fitnah tersebut, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah enggan memeningkan kepala, sebaliknya memilih untuk memaafkan aktres terbabit.

Begitupun, jika perkara tersebut andainya berlarutan dan tidak berkesudahan, reaksi dan tindakan yang akan dilakukan bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu bakal berubah.

Saya tidak rancang untuk mengambil tindakan undang-undang sebab apa yang diperkatakan adalah tidak betul sama sekali.

“Di pihak saya, saya yakin semua orang faham keadaan dan saya dan suami memaafkan perbuatannya itu.

Saya rasa dia tidak perasan situasi ketika itu, mungkin dia khilaf tapi sekiranya perkara ini berlarutan, lain pula ceritanya kelak. Lagipun suami saya memang tidak mengenali dia,” katanya ketika ditemui di sidang media Nasi Lemak Kopi O, disini, hari ini.

Terdahulu, pelakon sensasi itu mendakwa suami kepada Heliza iaitu, Datuk Seri Mahadi Zaman sebagai penipu apabila syarikat milik lelaki berkenaan gagal menyiapkan rumah yang dibelinya sejak lima tahun lalu.

Malah, aktres itu mendakwa dia perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM5,000 namun premis dijanjikan siap tahun lalu masih lagi tidak nampak bayang. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok