Sophia Albarakbah takut lakonkan babak dirogol

MASIH ‘mentah’ dalam dunia lakonan, pelakon jelita, Sophia Albarakbah mengakui berasa takut menjayakan babak dirogol dalam filem Jiwa 8 Belas yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Sophia bagaimanapun, lega berkat bantuan pengarah dan kru yang terlibat dalam filem terbabit, dia akhirnya berjaya menterjemahkan emosi mangsa kes jenayah itu dengan sempurna.

“Takut dan gementar sebenarnya. Saya tidak tahu nak bagi reaksi bagaimana ketika itu sebab masih terlampau baharu dalam arena lakonan.

“Semua yang berlakon dalam filem tersebut pun budak baharu, jadi kami kena bincang dengan terperinci untuk pastikan adegan itu ‘hidup’.

“Pengarah ada tolong dan semua proses terbabit buat kami rasa selesa untuk menjayakan babak dipinta,” katanya kepada HibGlam usai tayangan perdana Jiwa 8 Belas, semalam.

Ditanya mengenai persediaan menjayakan watak Fatien, Sophia, 31, mengakui sudah mempersiapkan mental dan fizikal agar mampu melaksanakan tanggungjawab membawakan adegan yang disifatkan sebagai tabu.

Saya bersedia tetapi dalam masa sama agak gementar sikit. Apa-apa pun saya sudah lakukan yang terbaik,” ujarnya lagi.

Menurut Sophia, filem Jiwa 8 Belas merupakan naskah layar perak pertama semasa awal penglibatan sebagai pelakon sekitar tahun 2018.

Selain Sophia, barisan pelakon lain yang menjayakan filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. ialah Shah Hazvee, Izuan Ramli, A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin dan Aman Graseka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok