Siti, sudikah terima lagu saya? – Mahalini

TIDAK seperti judul lagunya Sial, karier penyanyi muda berbakat besar, Mahalini Raharja bagai terus menyinar dan sentiasa dipayungi tuah.

Sudah dua kali terlibat menjayakan konsert di bumi Malaysia, pemilik nama penuh Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja itu mengakui ketagih ingin beraksi sekali lagi di sini.

Bagai bulan jatuh ke riba, itu yang dirasai gadis berusia 23 tahun itu apabila ketagihannya untuk beraksi di Kuala Lumpur apatah lagi di gelanggang gah Megastar Arena bakal terlestari 3 Februari depan.

Mengakui banyak perihal tentang Malaysia termasuk muzik sudah sebati dan dekat di hatinya, penyanyi juga penulis lirik itu menyimpan harapan menghasilkan lagu istimewa buat Datuk Seri Siti Nurhaliza.

MAHALINI bakal menghiburkan peminatnya di Malaysia menerusi konsert Lovehestra Mahalini Live In KL yang bakal berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 3 Februari ini.

Ujar si cantik asal Kota Denpasar, Bali itu, penyanyi nombor satu negara itu merupakan idolanya dalam arena nyanyian dan pasti akan tidur lena sekiranya hasratnya itu dapat direalisasikan.

“Datuk Siti sangat fenomena di Indonesia, bahkan sebelum saya menjadi seorang Mahalini seperti hari ini, namanya sudah kedengaran di mana-mana.

“Kita semua sedia maklum dengan kehebatan figura yang bernama Siti Nurhaliza, bakatnya bukan calang-calang, beliau menjadi inspirasi segenap penyanyi muda di Nusantara.

“Sebelum ini pun saya pernah menyanyikan lagunya untuk program televisyen Indonesia. Kalau boleh, ingin tuliskan lagu untuknya, sangat berbesar hati tetapi alamak tentunya saja ‘pressure’ berganda,” tuturnya berseloroh.

Kendatipun menyimpan seribu impian berbuat demikian, bekas peserta Indonesian Idol itu bagaimanapun dibelenggu rasa ragu memikirkan sama ada Siti Nurhaliza mahu menerima karya yang dihasilkannya atau sebaliknya.

Kalau tanya saya, itu antara salah satu impian saya, jika Datuk Siti terima, besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

“Tapi, adakah Siti mahu dan sudikah menerima lagu saya? Itu menjadi persoalannya,” ujarnya serius.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok