Siti Nurhaliza sambut hari jadi ke-45 di Mekah

ISTIMEWA dan bermakna! Iltulah yang disimpulkan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila dapat menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-45 di Tanah Suci Mekah.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin ketika ditemui HibGlam berkata, dia yang berangkat untuk mengerjakan ibadah umrah, semalam, memang berhasrat meraikan hari jadinya di kota Mekah hari ini.

“Alhamdulillah, saya pasti siapa sahaja yang pernah pergi (Tanah Suci), mesti akan merinduinya. Ada satu perasaan rindu yang memanggil-manggil.

Saya tidak buat persediaan awal, cuma saya fikir, ada masa yang cukup, terus saya buat keputusan untuk ke sana. Saya kata, impian tahun ini nak sambut hari lahir di Tanah Haram (Mekah dan Madinah).

“Saya minta izin suami (Datuk K) dan dia kata okey. Jadi saya bawa sekali kedua-dua anak saya (Aafiyah dan Afwa), serta ibu dan ibu mentua saya ke sana,” katanya kepada HibGlam.

Tambah penyanyi yang lahir pada 11 Januari 1979 itu lagi, kebetulan hari lahir ibunya (Salmah) baru sahaja berlalu pada 31 Disember lalu dan dia tidak sempat meraikan isnan kesayangannya itu. Maka, umrah kali ini dijadikan sebagai hadiah untuk bonda tercinta.

Selain impian saya untuk menyambut hari lahir di sana, ini juga merupakan hadiah hari jadi untuk ibu yang melahirkan saya.

“Syukur alhamdulillah, Allah SWT permudahkan semua urusan saya dan keluarga,” katanya.

Ketika ditanya mengenai antara doa yang akan dipohon di hadapan Kaabah nanti, Siti yang ditemui semasa majlis sidang media konsert, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza, baru-baru ini, berkata tentunya berharap agar diberikan Kesihatan yang baik.

“Mestilah saya mahu doakan yang terbaik. Pertama sekali adalah kesihatan. Sebab bagi saya, kesihatan sangat bermakna.

Selain itu, saya juga berdoa agar Allah berikan saya keimanan yang tinggi. Sebab kita sebagai manusia, iman selalu turun naik. Jadi biarlah Allah beri saya istiqamah dan perbaiki diri sendiri.

“Saya juga berharap agar Allah takdirkan yang baik-baik untuk anak saya supaya mereka menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain, selain memohon agar segala urusan dan kerja amal saya dipermudahkan,” ujarnya.

Menjawab kata-kata netizen yang mungkin beranggapan, individu yang kerap mengerjakan umrah hanya sekadar pergi melancong, pelantun Jerat Percintaan itu berpandangan, setiap orang boleh menilai dan mengkritik.

Bagaimanapun bagi Siti, hanya individu yang ke sana sahaja tahu niat mereka menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Seperti saya, tujuan kali ini sebab niat saya untuk menyambut hari lahir dan bawa keluarga ke sana. Alhamdulillah, kalau dapat pergi umrah atau mengerjakan haji lebih daripada sekali, itu adalah rezeki.

Apa-apa pun semuanya dengan panggilan Allah. Kalau tidak dipanggil untuk jadi tetamu-Nya, tidak akan sampai juga.

“Ada orang dah buat persiapan dari awal, tapi saat-saat akhir ada saja halangan seperti visa tidak diluluskan atau kena tipu dengan ejen.

“Jadi pada mereka yang komen atau apa sahaja, fikirlah semula sebab apa seseorang itu boleh sampai ke sana. Doakan yang baik-baik,” jelasnya. – HIBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok