Shila Amzah selar netizen fitnah Amylea Azizan

TIDAK berdiam diri apabila rakan difitnah, penyanyi Shila Amzah menempelak netizen yang menuduh kemeriahan majlis resepsi Amylea Azizan dan suaminya, Mohammad Aqbar mempunyai kaitan dengan berita meminta sumbangan untuk arwah bapa penyanyi dan komposer terbabit.

Kata pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah, 34, orang ramai sepatutnya tidak mempercayai kisah palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menuduh keluarga teman seperjuangannya itu dengan perkara tidak benar.

“Itu fitnah! Bapa dia sudah meninggal. Lain kali jangan main FB (Facebook). Itu semua fitnah.

“Orang yang sakit otak sanggup gunakan gambar bapa dia semasa sakit untuk buat cerita bodoh macam ini.

“Membabi buta percaya ini tidak elok,” katanya menerusi ruangan komen dalam media sosial.

Sebelum itu, Shila berkongsi video kemeriahan suasana majlis persandingan Amylea bersama suaminya yang mersa disapa Ash yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Individu tersebut meninggalkan komen dengan mempersoalkan acara yang disifatkan mewah, seterusnya mengaitkan laporan penyanyi ini meminta bantuan untuk arwah bapanya ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak menunggu lama, Shila terus membela sahabatnya itu dengan mendakwa pihak terbabit memanipulasi berita tersebut sehingga orang mempercayai dan melemparkan tuduhan melulu.

“Baru-baru ini aku tengok Amylea ini minta bantuan ayah dia sakit. Tup-tup tengok dia nikah mewah pula,” itu dakwaan netizen dalam ruangan komen.

Begitupun, sebelum ini Amylea telah memberikan amaran kepada seorang ejen yang memuatnaik semula laporan berita lama berkenaan arwah ayahnya bagi tujuan mempromosikan insurans

Penyanyi berusia 37 tahun itu menggesa hantaran tersebut dipadam atau dia akan mengambil tindakan undang-undang atas fitnah dilemparkan.

Bapa Amylea iaitu Allahyarham Azizan Zainal Abidin menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 11 Ogos 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok