Selamat hari lahir suamiku tersayang – Balu Abam Bocey

BALU kepada pelawak Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd. Ali menyarankan pengikut laman Instagramnya agar merakamkan banyak gambar dan video bersama insan tercinta.

Kata usahawan terbabit, foto yang menjadi peninggalan abadi itu dapat dijadikan penawar rindu lebih-lebih lagi jika orang tersayang dijemput Allah dahulu.

Simpanlah gambar kenangan bersama pasangan anda, banyak-banyak pun tidak mengapa.

“Apabila dia tiada, kenangan ini akan menjadi memori sampai bila-bila. Al-Fatihah suamiku Syed Umar Mokhtar,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.

Hantaran tersebut dizahirkan bersempena ulang tahun pelakon dan pelawak itu atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan pada 19 Januari (semalam).

Norhidayah turut memuat naik video sedang berkaraoke bersama suaminya berduet membawakan lagu Memori Berkasih nyanyian asal Allahyarham Achik Spin dengan Siti Nordiana.

Selamat hari lahir suamiku 19 Januari 1988, genaplah umurmu 36 tahun.

“Cintaku selamanya. Kenangan yang tidak dapat kembali lagi,” tulisnya lagi dalam ruangan kapsyen.

Perkongsian tersebut turut membuatkan pengikut Instagram ibu kepada seorang cahaya mata itu meluahkan rasa sayu pada komen balas.

Selamat hari lahir Abam, semoga tenang di sana,” kata seorang netizen.

“Terus tenang dan menang dunia akhirat ye Hidayah,” ujar pemilik akaun lain.

Nor Hidayah dan Abam mendirikan rumah tangga pada 2017 dikurniakan putera bernama Syed Uthman Hamzah yang kini berusia enam tahun.

Penggiat seni yang aktif dalam industri hiburan bermula 2012 meninggal dunia akibat demam panas pada 10 Februari 2020. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok