‘Seksi? Saya patuh kod berpakaian ditetapkan penganjur’

“MANA seksi, but panjang menutup paha saya.”

Demikian respons penyanyi Baby Shima yang menepis tuduhan berpenampilan mencolok mata selain bergelak kencang ketika beraksi di Konsert Milenia 2024 baru-baru ini.

Menyifatkan ada pihak sengaja mencari silapnya, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramly itu berkata, dres singkat rona hitam dipadankan seluar ketat bersama but tinggi yang menutup sebahagian pahanya bersesuaian dengan konsep persembahan.

“Baju sentuhan pereka Indonesia, Jessie Gunawan kena dengan corak persembahan saya yang memerlukan pergerakan lincah di pentas mega ini.

“Saya patuh kod berpakaian yang ditetapkan penganjur agar jangan menggayakan persalinan mendedahkan, selain beberapa syarat tambahan.

“Mana seksi, but panjang itu juga menutup paha saya. Tarian pula, saya hanya bagi 50 peratus gelek supaya tidak dikata sengaja tunjuk aksi mengghairahkan,” katanya kepada HibGlam.

Penyanyi berusia 29 tahun itu antara penghibur yang memeriahkan konsert dangdut anjuran Mission Sight Sdn. Bhd. di Zepp Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

Menggabungkan artis dangdut terkemuka tempatan dan Indonesia, persembahan mega hampir tiga jam itu turut membariskan Ratu Dangdut tanah air, Amelina selain Mas Idayu, Ani Mayuni serta Rheyna Morena, Hesty Klepek dan satu-satunya artis lelaki, Thomas Arya.

Shima yang ditemui usai konsert menegaskan pada fasa ini dia enggan ambil pusing pandangan skeptikal segelintir individu yang hanya pandai mengutuk.

Katanya, sebagai penyanyi dangdut pemilihan pakaian kena dengan konsep persembahan, malah apabila berada di luar dia masih seperti wanita lain apabila sentiasa memikirkan sensitiviti khalayak.

“Kalau tengok saya di luar tidaklah seksi mana, macam biasa saja, bahkan dalam mana-mana persembahan pentas pun saya pakai masih berpada-pada.

“Jangan sebab saya bawakan lagu dangdut terus cop macam-macam. Apa pun saya dah lali sebab tahu orang kalau tak suka memang akan terus korek salah kita,” ujarnya.

Pada masa sama, Shima yang membawakan empat lagu malam itu termasuk duet bersama Thomas memaklumkan masih berulang-alik antara Jakarta, Indonesia dengan Kuala Lumpur demi tugas.

“Alhamdulillah, sejak lebih setahun lalu saya  kembali tinggal di Jakarta kerana terbabit dengan program televisyen serta persembahan bergerak.

“Apabila ada undangan di Kuala Lumpur atau destinasi lain dalam negara saya akan balik demi memenuhi permintaan,” tambahnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok