Sedetik Lebih, Kau Ilhamku pilihan Putera Mateen, Dayang Anisha

RAMAI bangga melihat beberapa lagu popular dendangan penyanyi tanah air menjadi pilihan peribadi pasangan pengantin Di Raja Brunei, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dan Dayang Anisha Rosnah pada Majlis Persantapan Diraja Pengantin Diraja Brunei di Istana Nurul Iman, Brunei semalam.

Paling membuatkan ramai teruja, sebanyak empat lagu milik penyanyi tanah air tersenarai dalam 28  lagu pilihan pasangan pengantin iaitu Dia nyanyian Datuk Sheila Majid, Sedetik Lebih (Anuar Zain) dan Di Akhir Garisan serta Kau Ilhamku (Man Bai).

Selain tiga lagu tersebut, lagu irama tradisional, Pandang Pandang Jeling Jeling nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Allahyarham Tan Sri S.M Salim turut dimainkan secara instrumental malam tadi.

Menerusi beberapa foto tular dalam media sosial, 28 lagu tersebut dimainkan oleh Orkestra gabungan daripada Radio Televisyen Brunci (RTB) bersama barisan pemuzik terlatih Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta penyertaan bakat-bakat muda.

Rata-rata netizen teruja dan tidak menyangka pasangan pengantin berkenaan meminati lagu Sedetik Lebih dan Kau Ilhamku yang dilihat sangat sesuai dimainkan pada majlis perkahwinan.

Semua lagu bahasa Inggeris yang mereka pilih sangat hebat tetapi melihat ada Sedetik Lebih, sangat menyeronokkan.

“Banggannya ada lagu artis Malaysia dalam senarai! Okey boleh guna senarai lagu Putera Mateen untuk masa akan datang.

Kau Ilhamku dan Sedetik Lebih ada dalam senarai dengan Lana Del Rey serta Elton John. Pasangan pengantin ada selera muzik yang bagus,” komen netizen.

Sementara itu, lagu penyanyi antarabangsa lain yang turut menjadi pilihan pasangan pengantin diraja adalah All Of Me (John Legend), All My Lovings (The Beatles), Can’t Help Falling in Love (Elvis Presley) dan Marry You (Bruno Mars).

Istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari dimulai dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari lalu.

Terdahulu, Putera Mateen dan Dayang Anisha selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada Khamis lalu.

Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat Brunei di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan dan turut berkenan disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok