Saya tak perlukan publisiti murahan – Marsha Milan

HAMPIR dua dekad melakar nama di langit industri seni tanah air, karier Marsha Milan bagai kejora yang bersinar indah tepat pada waktunya.

Kebangkitan kerjaya wanita serba boleh itu bermula apabila mencetus fenomena tersendiri pada cara berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi karya melankolik berat berjudul Cinta, sekali gus menderaskan tempo karier dibina sekian banyak masa.

Berhempas-pulas di arena lakonan sehinggalah mencari rentak dalam dunia nyanyian, kesungguhan pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh itu membuktikan dirinya mampu berjaya tanpa perlu membuat perihal berstatus publisiti murahan.

Bebas 

Bersih tanpa secalit kontroversi murahan, sememangnya itu pilihan Marsha yang mahukan jenama seninya dikenali melalui bakat diketengahkan dalam ruang lingkup dunia hiburan.

MARSHA mahu dirinya bebas dan bersih daripada kontroversi murahan.

“Saya bukanlah sejenis yang suka cetuskan kontroversi murahan mahupun menimbulkan sebarang provokasi sebab semua itu tidak mendatangkan sebarang faedah buat saya.

“Saya lebih rela orang kata saya membosankan daripada terpalit dengan perkara yang pada akhirnya memakan diri dan kerjaya sendiri.

“Biarlah orang mengenali dan menghargai apa jua saya lakukan dalam industri kerana bakat yang saya ketengahkan. Itu pendirian saya,” ujarnya.

Memegang prinsip itu sehingga ke hari ini, wanita berusia 39 tahun itu enggan periuk nasinya terisi dengan perkara tidak penting yang memberi dampak buruk kepada diri dan insan sekelilingnya.

“Saya berpegang teguh pada prinsip dan pendirian saya. Walaupun ramai artis yang cuba lakukan taktik sedemikian agar nama disebut-sebut. Itu hak masing-masing, saya tidak menghakimi mereka.

“Saya dah lalui bermacam-macam hal sepanjang 18 tahun dalam industri, saya tak mahu buatkan orang tidak selesa dengan saya hanya kerana kontroversi murahan yang menempel.

“Percayalah, cepat naik, cepat jatuh. Kontroversi tidak akan membawa kita ke mana-mana, bakat jua yang paling utama,” tuturnya serius.

Menoktahkan topik tersebut, penulis sempat bertanyakan perihal AJL apabila dia sekali lagi berjaya bolos ke pentas keramat itu. 

Mempertaruhkan lagu Darah, nama sumandak Sabah itu kembali meledak apabila dikatakan bakal memberi persaingan hebat kepada finalis lain seperti Aina Abdul dan Ernie Zakri. 

Persaingan sihat

Kata Marsha, dia melihat perbandingan itu sebagai lumrah bagi seorang penyanyi malah enggan ambil pusing dan hanya mahu lakukan persembahan yang bakal meninggalkan kesan kepada penonton pada malam tersebut.

MARSHA hanya mahu memberikan persembahan yang akan meninggalkan kesan kepada penonton semasa AJL38 nanti.

“Kali ketiga menyertai AJL, tekanannya tentulah berbeza, namun saya melihat perkara ini dari sudut pandang yang positif meskipun saya tahu ramai cuba membuat provokasi serta membanding-bandingkan saya dengan finalis lain seperti Aina dan Ernie.

“Saya mengakui bakat keduanya bahkan mereka juga adalah sumber inspirasi saya ketika membuat persembahan, saya melihat ini satu persaingan yang sihat dan warna warni dalam industri.

“Pada saya, misi paling penting saya pada malam tersebut ialah untuk mencapai target saya sendiri ketika berada di atas pentas selain mengadakan satu persembahan yang dapat memberi impak kepada penonton,” jelasnya panjang lebar.

Ditanya sama ada meletakkan sebarang target untuk merangkul mana-mana anugerah dalam AJL38 nanti, Marsha enggan berbohong tentang keinginannya, namun pada masa sama, percaya semuanya bergantung kepada rezeki.

“Pada akhirnya AJL adalah pertandingan, tipulah kalau saya kata tidak meletakkan sebarang target. Sebagai penyampai lagu kepada komposer dan penulis lirik, saya mahukan lagu Darah mendapat tempat.

“Untuk kapasiti saya sebagai penyanyi pula, saya mahu lakukan sehabis baik agar orang ramai puas, dapat anugerah Persembahan Terbaik mahupun Vokal Terbaik, itu bergantung kepada rezeki pula.

“Saya percaya kerja keras bakal membuahkan hasil, tidak meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi setidaknya saya akan ‘pulun’ habis-habisan untuk buat persembahan yang memberi kepuasan kepada penonton kelak,” ujarnya penuh semangat.

Meneruskan bicara, penyanyi bermata bundar itu sempat berkongsi tentang kemas kini terbaharu mengenai karier nyanyiannya pada tahun ini.

Baca artikel penuh dapatkan Kosmo!  atau Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok