PENYANYI dan pelakon, Zarina Zainoordin mendedahkan sedang bercinta dengan ahli perniagaan berstatus duda anak dua yang dikenali sejak 10 tahun lalu.
Akui Zarina, dia selesa menjalinkan hubungan dengan lelaki berusia 52 tahun itu yang disifatkan bersikap terbuka, selain mempunyai kedudukan kewangan kukuh.
“Kami sudah 10 tahun rapat dan dia bapa kepada dua anak yang masih belajar di sekolah menengah.
Dia juga bukan dalam kalangan orang seni kerana saya memang elak bercinta dengan artis, saya pilih yang berduit.
“Dia pun tahu kenapa saya pilih dia yang tak pernah berkira, tahu-tahu duit bulanan rumah dia dah bayar,” katanya ketika ditemui HibGlam selepas tayangan drama bersiri Gemersik Berbisik, semalam.
Meskipun sudah lama menjalinkan cinta, aktres berusia 40 tahun itu mengakui tidak tergesa-gesa utnuk mendirikan rumah tangga.
“Kalau ikutkan saya memang sudah lama bersedia untuk berumah tangga iaitu sejak zaman sekolah lagi.
Tapi tiadalah sampai tahap tertekan sebab sekarang masih belum berkahwin pada usia 40 tahun.
“Bahkan keluarga dan saudara mara tak pernah tanya soal jodoh, kecuali sesekali apabila balik raya terasa juga ketika dikelilingi mereka yang sudah berkahwin,” ujarnya.
Percaya dengan ketentuan jodoh, Zarina yakin hasrat bergelar isteri bakal menjadi kenyataan apabila tiba masanya.
Mungkin dulu saya sibuk cari rezeki untuk bantu keluarga, itu yang sampai terlajak. Manalah tahu tahun ini kahwin. Doakan saya ya.
“Kalau sampai masanya pun saya pilih bersederhana, utamakan perkara wajib dulu, baru fikir resepsi dan sebagainya” ungkapnya.
Terdahulu, bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua itu pernah menjalin hubungan dengan beberapa pelakon lelaki namun kecundang di tengah jalan.
Zarina juga pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan bekas gitaris sebuah band muzik pada 2010, namun perancangan itu dibatalkan atas sebab tertentu,” katanya.
Sementara itu, mengenai pembabitan dalam drama bersiri lapan episod terbitan NS Star Studio yang disiarkan menerusi Unifi TV, Zarina membawakan watak Ipong. – HIBGLAM