SELEPAS mencetuskan kekecohan susulan pandangan mengenai keperluan pusat pelacuran di negara ini, aktor senior Datuk Rosyam Nor tampil membuat permohonan maaf atas keterlanjuran katanya.
Ahli perniagaan itu berkata, dia tidak menyangka kenyataan yang dikongsikan di sebuah podcast akan menjadi tular sehingga disalah anggap serta mendapat pelbagai reaksi ramai.
“Kecoh satu dua hari ini pasal isu rumah pelacuran kononnya saya ada buat kenyataan.
“Apa-apa hal pun saya minta maaf dulu sebab tak sangka benda ini akan jadi viral,” katanya menerusi hantaran di Instagram (IG), hari ini.
Sehubungan itu, Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin, 56, menggesa orang ramai menonton video penuh yang dimuat naik ke akaun TikTok Suhan Channel sebelum membuat sebarang tanggapan.
“Sebenarnya itu untuk program podcast saya dalam Suhan Channel. Itu adalah perbincangan, jadi saya rasa baik semua orang kalau ada masa pergi ke Suhan Channel.
“Tengok keseluruhan video apa yang dibincangkan. Terima kasih kerana peka dengan keadaan, sekali lagi saya minta maaf atas kecelaruan yang berlaku,” ujarnya.
Semalam, Rosyam menerusi podcast atau audio siar, Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik dalam TikTok Suhan Channel menyatakan pusat pelacuran perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya berjauhan dengan isteri.
Katanya, ketiadaan pusat pelacuran boleh membawa kepada risiko perlakuan jenayah seperti kes rogol dan sebagainya.
Bagaimanapun, aktor prolifik terbabit menegaskan perkara disampaikan itu hanya pandangan peribadi selain meminta penonton untuk menilai sendiri.
Rentetan kenyataan kontroversi itu, Rosyam ‘diserang’ netizen selain meraih respons pemimpin negara dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.
Begitupun, usaha HibGlam menghubunginya bagi mendapatkan maklum balas lanjut tidak berhasil apabila panggilan tidak dijawab. – HIBGLAM
View this post on Instagram