PENYAMPAI radio, Fizi Ali berkata, tindakannya memfailkan hadanah (hak penjagaan) bukan untuk berebut anak sebaliknya hanya menginginkan anak perempuanya itu mendapat kasih sayang yang sempurna.
Menurut Fizi atau nama sebenarnya Mohd. Hafizudin Alimudin, 37, apa yang diharapkan adalak anak perempuannya itu Nur Ameena Sofia, 5, mendapat hak yang sepatutnya iaitu kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa.
Saya bukan hendak berebut ke hendak apa, lebih penting anak saya dapat kasih sayang daripada ibu dia dan bapa.
“Oleh kerana sebelum ini perbincangan berdua tidak dapat diselesaikan, saya rasa inilah jalan saya rasa paling sesuai sekali (tuntutan hadanah),” katanya yang memfailkan hadanah itu pada bulan lalu.
Hari ini, kedua-dua pihak hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi sebutan kes tuntutan itu dengan Fizi selaku pemohon dan bekas isterinya Shakilla Khoriri, 35, sebagai defendan.
Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.
Sebelum ini, media Fizi memilih untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan kemelut membabitkan urusan penjagaan anak dengan bekas isterinya Shakilla.
Kata Fizi, dia masih tidak dapat berhubung dengan anak kesayangannya itu apabila panggilan telefon tidak diangkat dan mesej tidak berbalas.
Terdahulu, Fizi meluahkan rasa kesal apabila niatnya untuk berjumpa Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada 11 November lalu tidak kesampaian.
Kata Fizi, dia menunggu anaknya itu untuk tampil membuat persembahan di majlis konvokesyen tersebut namun kelibat anaknya itu tiada.
Sebelum itu, Fizi telah memuat naik hantaran dalam Instagram meluahkan rasa rindu terhadap anaknya sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.
Fizi dan Shakilla bernikah pada 18 Januari 2018, namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021. – HIBGLAM