DITUDUH bergaul dengan lelaki songsang ketika Allahyarham ibunya sedang nazak, penyanyi Khai Bahar menuntut individu berkenaan menampilkan bukti seiring dengan fitnah dilemparkan.
Bagaimanapun, Khai atau nama lengkapnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, memaafkan individu terbabit selain enggan memanjangkan isu sehingga ke peringkat mahkamah.
Saya maafkan orang yang buat cerita. Kalau betul saya iyakan, tetapi saya keluar dengan kawan terdekat.
“Namun, ada pertikaian dan cakap saya keluar bercuti dengan orang sedemikian, jadi kenapa tidak pamerkan bukti sekali.
“Saya tidak mahu ambil tindakan undang-undang, cukuplah dengan perkara sebegini semoga individu tersebut akan dapat pengajaran,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman Top 5 Gempak Most Wanted Awards 2023, semalam.
Dalam masa sama, Khai menjelaskan situasi sebenar yang membuatkan kemarahannya membuak-buak walaupun dia bukan seorang individu mudah melenting.
Perkara ini mudah sahaja, saya bercuti di Langkawi dengan empat kawan baik yang memang kami sudah kenal dari dulu.
“Namun, apabila individu cakap tidak betul, buat saya marah. Kalau hendak cakap kena ada bukti.
“Buat saya lagi marah dan hilang sabar kerana membabitkan mak saya,” ujarnya yang kehilangan ibu pada 2 Januari lalu.
Begitupun, Khai menafikan ibunya sakit teruk semasa dia bercuti bersama kawan-kawan selain menyifatkan insiden terbabit mampu mengubahnya ke arah lebih baik.
Ada juga yang cakap teguran untuk saya, mak tengah sakit terlantar semasa saya di Langkawi tapi mak bukan terlantar.
“Saya yang berada di Langkawi tak jangka mak akan pergi. Adik- beradik saya yang lain sentiasa di sisi mak pun tidak menyangka.
“Jadi dengan perkara ini mungkin saya dapat perbaiki salah silap walaupun tidak tahu apa sebenarnya yang individu terbabit mahukan,” jelasnya.
Sebelum ini, ibu Khai iaitu Rosnah Muhammad meninggal dunia dalam tidur di kediaman mereka di Kangar, Perlis pada 2 Januari pukul 10.40 malam.
Rosnah disahkan meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk sakit buah pinggang yang dihadapi sejak tahun lalu.
Meskipun masih meratapi pemergian ibu, ada individu yang sanggup melemparkan tuduhan liar mengatakan Khai berseronok dengan rakan lelaki songsang di Pulau Langkawi ketika ibunya sedang nazak.
Tidak pernah melenting walaupun menerima kritikan hebat, kali ini pelantun lagu Bayang itu tampil bersuara kerana melibatkan Allahyarham ibunya. – HIBGLAM