SAYA berharap satu hari nanti dia kahwin dan akan bahagia.”
Demikian pengharapan rakan industri yang pernah bersahabat baik dengan aktres sensasi Fatiya Latiff iaitu Zarina Anjoulie yang mencetuskan hiruk-pikuk dengan bercerita negatif terhadap beberapa orang lain termasuk Zahirah Macwilson dan suaminya, Aiman Hakim.
Zarina atau mesra disapa Anju mendedahkan sifat sebenar Fatiya Latiff yang berhati busuk dan selalu berprasangka tidak baik sepanjang menjalin persahabatan dengannya kian terserlah sekarang.
Terpanggil mencelah dalam isu melibatkan bekas sahabatnya itu dengan kutukan bertalu-talu terhadap dua individu terbabit, kata Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 37, dia berhenti berkawan dengan Fatiya disebabkan perangainya yang busuk hati apabila kerap mencetuskan perbalahan tanpa sebab munasabah.
Dedah Anju, sikap suka membanding-bandingkan serta berprasangka buruk terhadap orang lain masih kental membelenggu Fatiya.
“Awak semua tahu apa jadi dengan Fatiya, jadi ada benda Anju nak cerita sikit. Kalau tengok video tu, itulah masalah tentang Fatiya.
“Kalau awak semua ingat dulu Anju pernah kawan dan gaduh dengan dia, inilah sebabnya, korang boleh rasa tak busuk hati dia? Sebab itu Anju berhenti kawan dengan dia.
“Kalau lepak, dia akan cakap yang Anju kawan dengan dia sebab ‘followers’ (pengikut). Lima tahun langsung tiada perubahan. Orang normal tak cakap macam itu,” katanya dalam siaran langsung Instagram.
Tambah Anju lagi, sebelum ini dia pernah melalui situasi sama seperti dilalui isteri kepada Aiman Hakim Ridza itu, namun enggan menghebohkan perkara berkenaan kepada umum.
Namun apabila kali ini Zahirah pula ‘terkena’, dia mengakui terkejut kerana ternyata sikap buruk Fatiya yang tidak pernah berubah.
“Saya terkejut dia bersungguh-sungguh kecam Zahirah. Dulu saya nak jelaskan tapi mungkin orang tak percaya.
“Masanya akan tiba sebab orang macam dia takkan boleh sorok perangai sebegitu lama-lama,” ujarnya.
Pada masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata itu berharap sahabatnya itu akan berubah dan dapat mengecapi kebahagiaan.
“Saya tidak benci dia, saya doakan dia baik-baik, saya sangat berharap satu hari dia akan berubah. Saya berharap satu hari nanti dia kahwin dan akan bahagia.
Difahamkan sebelum ini Anju dan Fatiya pernah berperang besar, namun berbaik semula selepas dua tahun bertelagah.
Sejak semalam kecoh mengenai ‘serangan’ bersiri Fatiya yang menyamakan wajah Zahirah seperti pembantu rumah atau bibik selain mendakwa aktres terbabit menjalani operasi bibir. – HIBGLAM