Sakit tak bertempat, luka tidak berdarah – Tyzo

BAGAI direntap nadi apabila kemunculan Tyzo dalam program Suria Petang di Suria FM dinoktahkan menerusi notis yang diserah seminggu sebelumnya sedangkan kontrak bersama stesen radio itu masih berbaki dua bulan lagi.

Sehari selepas sesi fotografi ini berlangsung, luka dihatinya bagai dihiris-hiris apabila pihak pengurusan tertinggi radio berkenaan akhirnya membuka mulut berkenaan isu penamatan kontraknya.

Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris, 48, menyifatkan tindakan dikenakan terhadapnya umpama hukuman terhadap penjenayah.

Sakit tapi saya tak tahu di mana tempatnya, berdarah tapi saya tak pasti di mana lukanya. Itu yang saya rasakan sedari awal pengumuman penamatan kemunculan saya di Suria Petang pada Jumaat minggu lalu.

“Perasaan saya bercampur-baur antara sedih, kesal dan rasa dianiaya kerana seperti dihukum walaupun apabila ditanya pihak di sana mengakui saya tiada masalah disiplin atau sebagainya.

Perkara saya luahkan sebaik melangkah keluar dari konti tempoh hari adalah sesuatu yang terzahir dari lubuk hati tatkala berperang dengan emosi. Andai orang lain berdepan hal sama pasti mereka memahami.

“Jika kontrak tamat, itu sudah dimeterai awal dulu, tetapi saya tidak lagi diberi peluang muncul dapat program biarpun gaji masih jalan sehingga Mac,” katanya dalam satu pertemuan dengan Pose.

PERASAAN sayang terhadap Suria FM tebal namun Tyzo akur dengan apa sahaja takdir yang tertulis buat dirinya.

Tetap tampil ceria walau jauh di relung hati bergelut pelbagai persoalan, Tyzo yang pernah tampil bersama single Tak Lelah Bertahan berkata, apa juga keputusan adalah atas pertimbangan pengurusan tertinggi Suria FM.

Saya hanya minta naik gaji RM500 sahaja, namun pihak pengurusan menolak tapi saya tetap tandatangani kontrak pada Septermber lalu.

“Saya memang sayangkan Suria FM tapi mereka buat kesimpulan saya tak berminat hanya kerana saya tak maklumkan awal mengenai keputusan berkaitan kontrak kepada pihak pengurusan.

“Ramai kata ini badi menang anugerah, tapi saya tak rasa itu betul, sebaliknya semua ini adalah takdir untuk menguji kita dan pihak berkaitan,” tambah penyampai berpengalaman itu.

Mengulas mengenai petisyen terbuka dibuat netizen terhadap seorang individu, ujar anak jati Ipoh, Perak itu, semuanya adalah hak masyarakat terutama pendengar radio sendiri.

Saya tiada hak menghalang orang ramai daripada menyuarakan pandangan masing-masing.

“Pendengar berhak membuat pilihan atau menyuarakan kemahuan,” tambahnya yang berterima kasih atas kata-kata semangat dizahirkan orang ramai.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok