ANAK anjing itu terlalu comel. Namun saya tetap menjaga batas dan tidak menciumnya.”
Itu respons pelakon Sharifah Sakinah berhubung tindakannya mendukung seekor anak anjing sambil menari-nari menerusi satu hantaran video yang dikongsikan dalam InstaStorynya, semalam.
Sehubungan itu, Sakinah, 35, memohon maaf atas perbuatannya dan berjanji akan lebih berhati-hati selepas menerima banyak teguran daripada netizen.
Di sini, saya ingin memohon maaf atas tindakan yang saya telah lakukan (memegang anjing). Selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” katanya.
Ujar pelakon yang mesra disapa Kinah itu lagi, dia menerima segala teguran dan kecaman yang dilemparkan terhadapnya.
Pada masa sama, Sakinah turut berharap agar isu mendukung anak anjing itu tidak dipanjangkan atau disensasikan lagi.
Saya menerima segala teguran dan kritikan dengan hati terbuka.
“Saya tak nak ulas lebih panjang kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.
Terdahulu tindakan Sakinah berkongsi video mendukung seekor anak anjing dalam InstaStory miliknya mengundang pelbagai kecaman daripada netizen yang menganggap perbuatannya itu tidak sensitif sebagai wanita beragama Islam.
Lebih mengejutkan, adik kepada pelakon dan juga penyampai radio, Sharifah Shahirah itu kelihatan begitu selesa dan seronok mendukung haiwan yang diharamkan sentuhan bagi orang Islam tanpa keperluan dalam urusan kehidupan itu. – HIBGLAM