Sajat hidap kanser, hidup tak lama

 “Saya sebenarnya sakit, sakit kanser.”

Itu pendedahan mengejutkan usahawan kosmetik, Nur Sajat dalam satu siaran langsung dalam platform TikTok, sebentar tadi.

Pemilik nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 39, itu turut memaklumkan dirinya kini hanya menunggu ajal datang menjemput.

Begitupun, dia tidak memperincikan barah yang menyerang, sebaliknya hanya meminta maaf kepada semua.

“Sajat sebenarnya sakit kanser. Tunggu mati sahaja. Kalau saya tak sempat minta maaf, saya minta maaflah. Sedih sangat.

“Kalau saya pernah mengata, maki atau sebagainya, saya minta maaf. Kalau terhutang, minta maaflah ya.

“Doakanlah Sajat, nanti saya sakit tak buat ‘live’ tiada siapa nak menghiburkan. Doakan, saya nak sihat.

“Nak kata saya katalah, tapi doakanlah saya sihat,” katanya sambil menangis.

Menerusi hantaran lain, Sajat yang bermastautin di Australia sejak Oktober 2021 meminta peminat dan pengikut laman sosialnya tidak bersedih.

Katanya, dia tidak pernah mengganggu atau menyusahkan orang lain meskipun menghidap penyakit berbahaya itu.

“Walaupun sakit kanser, saya tak pernah kacau orang. Saya tak pernah kacau rakan-rakan saya.

“Kamu tak perlu rasa sedih, cukup-cukuplah. Selagi saya boleh berhibur, saya berseronok.

“Kalau tiba-tiba sudah senyap, (maknanya) saya dah tiada lagi,” ujarnya lagi yang tampak sebak sehingga tidak mampu meneruskan kata-kata.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan simpati, selain mendoakannya dapat kembali sembuh.

Malah ada dalam kalangan pengikutnya mengambil peluang meminta maaf atas kekhilafan mereka.

Pendedahan personaliti sensasi itu kini tular selepas banyak akaun TikTok lain memuat naik semula videonya yang telah disunting.

Sebelum ini Sajat teruk dikecam berikutan beberapa isu, tetapi masih ramai mengikuti laman sosialnya dan terhibur dengan gelagat ditunjukkan.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan dia berhijrah ke Australia dan ‘cerai’ talak tiga dengan Malaysia untuk memulakan hidup baharu selepas menjadi pelarian di Thailand setelah lari dari negara ini. — KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok