Saham label YG menjunam 

Kegagalan mendapatkan kontrak tambahan bagi menguruskan karier solo semua anggota kumpulan Blackpink ternyata memberi kesan buruk kepada syarikat pengurusan, YG Entertainment.

Menurut sebuah laporan, saham agensi berkenaan didagangkan pada harga RM158 sama seperti hari dagangan sebelumnya.

Bagaimanapun, harga saham agensi itu juga turun kepada RM155 atau penurunan sebanyak 1.67 peratus pada hari pembukaan pada Isnin lalu.

Peratusan tersebut adalah paras terendah bagi agensi tersebut sejak 52 minggu lalu.

Penganalisis Daishin Securities, Lim Soo-jin berpendapat, kegagalan YG Entertainment mendapatkan kontrak untuk karier solo Blackpink menyumbang kepada kemerosotan itu.

Sebelum ini, salah seorang ahli Blackpink iaitu Jennie memilih menguruskan karier solonya sendiri dengan menubuhkan syarikat pengurusan Oddatelier yang turut  dikendalikan ibunya sejak November tahun lalu.

Selain Jennie, Blackpink yang turut dianggotai oleh Lisa, Jisoo dan Rose juga memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama label berkenaan.

Bagaimanapun, YG Entertainment masih menguruskan karier Blackpink secara berkumpulan selain ‘gergasi’ K-Pop lain seperti BabyMonster, Winner, iKON dan Treasure.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok