Reda diri dicop Raja Komen, Erul Samah malas peduli

DIDAKWA kebulur perhatian oleh sebilangan peminat dek kerap menempel di bahagian komen mana-mana hantaran artis mahupun pempengaruh, penyanyi Erul Samah enggan mempedulikan tanggapan tersebut.

Kata pemilik nama penuh Khairul Najmuddin Abu Samah itu, segala pendapatnya bersifat terkini bertepatan dengan julukan diberikan iaitu Raja Komen.

“Saya tidak kisah orang nak cakap apa, penerimaan komen saya bergantung kepada netizen mahupun artis itu sendiri, setakat ini semuanya okey sahaja, kalau ada yang benci saya nak buat macam mana.

“Saya rasa sebagai Raja Komen, saya memperbetulkan pandangan orang terhadap sesuatu kenyataan dan fakta yang dihantar mana-mana artis.

“Kadang-kadang bila orang baca, mereka cenderung kepada perspektif negatif, dan mulalah komen ikut emosi, jadi saya komen balik untuk perbetulkan apa sebenarnya yang ingin disampaikan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya bagaimana dia boleh meninggalkan komen dengan pantas pada setiap hantaran selebriti mahupun mana-mana individu dikenali, penyanyi berusia 33 tahun itu mengakui mempunyai pasukan media sosialnya sendiri.

“Kalau perasan setiap komen yang saya tinggalkan ada yang lawak, marah, menasihati dan sebagainya sebab akaun saya diuruskan ramai orang.

“Saya ada pasukan saya sendiri yang bertanggungjawab memberi respons kepada setiap hantaran, tetapi apa-apa komen mestilah melalui saya sendiri, kita tidak mahu sebarang komen berunsur menyakiti mahupun membenci individu terbabit.

“Pada akhirnya, niat saya murni, hanya ingin menyampaikan pendapat dan nasihat baik kepada individu yang membuat hantaran mahupun netizen yang mengecam,” ujarnya panjang lebar.

Sebelum ini, bekas peserta program Akademi Fantasia ke-9 (AF9) itu mencuri perhatian orang ramai apabila sering dilihat aktif meninggalkan komen pada sesebuah hantaran dan isu yang sedang tular.

Bagaimanapun, terdapat segelintir netizen berpendapat jejaka asal Kuala Lumpur itu terlalu mencuba untuk meraih perhatian kerana karier nyanyian yang semakin tidak ke mana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok