Puteri Sarah nafi dakwaan bakal nikah dengan Andi Arsyil

AKTRES Puteri Sarah Liyana kesal apabila tular dakwaan tidak berasas diriya bakal mendirikan rumah tangga dengan aktor Indonesia, Andi Arsyil baru-baru ini.

Menurut pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin, 39, itu, dakwaan tersebut dianggap sebagai fitnah dan kecewa kerana hubungan baiknya dengan Andi sebagai rakan perniagaan sering ‘diromantiskan’ oleh segelintir pihak.

Mana ada saya nak kahwin dalam masa terdekat? Saya pula tak tahu diri sendiri akan kahwin.

“Hubungan saya dengan Andi buat masa ini memang hanya sebagai rakan perniagaan yang kami usahakan bersama iaitu menjual produk penjagaan wajah dan tudung. Tidak lebih daripada itu pun.

Saya tak suka bila ada orang yang keluarkan kenyataan sebegitu kerana ia boleh mendatangkan fitnah. Kalau Andi tahu, dia pun mungkin tak suka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Melihat ramai menzahirkan sokongan dan doa agar hubungan dengan Andi berakhir sehingga ke jenjang pelamin, dia berterima kasih untuk setiap doa namun menegaskan masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Dia yang popular menerusi drama Hijrah Jannah itu juga turut memasang impian dan berdoa dirinya dijauhkan daripada sebarang isu sensasi seperti tahun-tahun sebelum ini.

Buat masa ini, fokus saya hanya pada membesarkan anak-anak dan bisnes yang baru sahaja bermula.

“Jadi, tiada sebarang perancangan berkahwin buat masa ini seperti yang didakwa segelintir pihak. Belum tiba masanya lagi.

Azam saya untuk tahun 2024 ini ialah mengelak daripada terpalit daripada sebarang kontroversi harap terjadilah begitu,” ujarnya.

Puteri Sarah dan Andi sebelum ini digosipkan sedang menjalin hubungan cinta apabila kerap muncul bersama dalam siaran langsung TikTok.

Pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu bagaimanapun sebelum ini menegaskan hubungannya dengan dan Andi hanya sekadar rakan perniagaan.

Dia yang kini bergelar ibu tunggal itu pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah dan juga pelakon, Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014.

Jodoh tidak berpanjangan, pasangan itu sah bercerai talak satu pada 14 Jun lalu.

Hasil perkongsian hidup, Sarah dan Syamsul dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok