Pulangkan RM26,000 atau saya lapor polis – Puteri Sarah

PELAKON Puteri Sarah Liyana mendedahkan dirinya diperdaya seorang pegawai pemasaran yang mengambil wang berjumlah RM26,000 tanpa persetujuannya sebagai caj 45 peratus daripada keuntungan perniagaan.

Menurut pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin itu, dia mengupah individu tersebut sejak  Oktober tahun lalu bagi memasarkan produknya namun kerja yang dilakukan tidak mencapai standard ditetapkan.

“Saya tak berapa nampak apa yang dia buat sebenarnya. Kemudian dia caj saya sebanyak 45 peratus daripada keuntungan untuk pemasaran.

Dia juga ada pegang wang tunai dalam satu acara lain sebelum terus ambil RM26,000 tanpa masuk ke dalam akaun terlebih dahulu.

“Kerja satu apa pun tak buat, tiba-tiba dia kata duit tersebut adalah duit untuk gajinya,” katanya menerusi video siaran langsung yang dimuat naik semula dalam TikTok.

Pelakon Hijrah Jannah itu turut menzahirkan rasa tidak puas hati apabila tugas individu terbabit untuk mencari ejen dan stokis bagi produknya tidak dilaksanakan seperti dijanjikan.

Begitupun, aktres berusia 40 tahun itu masih memberi peluang kepada individu berkenaan untuk memulangkan semula wang yang diambil dan tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya tidak berbuat demikian.

Dia nak jadi rakan kongsi tapi tak mahu keluar modal. Kalau nak jadi rakan perniagaan, kena bagi duit.

“Kalau saya tak dapat balik duit saya, memang saya nak buat laporan polis.

“Saya tak kisah nak ambil 45 peratus ke apa, saya dah reda tapi yang salah kira gaji apa semua itu, saya harap dapat duit saya kembali,” katanya tegas.

Ibu kepada dua cahaya mata itu dilihat rancak mengusahakan perniagaan produk kecantikan bersama pelakon Indonesia, Andi Arsyil Rahman sejak tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok