TIDAK mampu menahan marah akibat tuduhan menggunakan pemergian ayah sebagai konten, pelakon dan usahawan Zarina Zainuddin menyelar kaki fitnah sebagai individu biadab yang bodoh.
Katanya, dakwaan lapar perhatian adalah fitnah jahat daripada orang yang tidak mempunyai perasaan empati serta kurang sensitif atas kehilangan insan kesayangannya.
Bongok orang ini, bodoh tak ada perasaan, pergi mampus.
“Kan kena bahasa aku yang kasar sebab aku tak suka cakap benda kasar tapi kau memang celaka.
Sejenis bodoh, pergi berambus dari hidup aku. Kurang ajar,” katanya dalam video dikongsikan dalam Instagram.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu lagi, luahan kesedihan selepas ayahnya Allahyarham Zainuddin Ibrahim meninggal dunia dizahirkan agar menjadi pengajaran kepada insan lain.
Namun dia tidak menyangka ada netizen yang sanggup melemparkan tuduhan kononnya itu cubaan menagih simpati dan perhatian.
Aku kongsi supaya jadi satu pedoman dan peringatan buat yang masih ada ibu bapa.
“Ini berdasarkan pengalaman, bukan saja nak cari perhatian. Kau rasa kau hebat, pergi mampus dengan hidup kau,” ujarnya.
Begitupun, dalam ruangan kapsyen, aktres berusia 53 tahun itu memohon maaf atas ketelanjuran menggunakan bahasa kasar dalam siaran langsung tersebut.
“Saya bukan minta perhatian tapi nak kongsi agar anda semua pun dapat jadikan ikhtibar.
“Ayah saya dah tak ada, maafkan saya jika mulut saya lancang. Saya tak suka orang suka mengata orang ni,” tulisnya.
Andai dalam siaran langsung Zarina menggunakan ‘aku’ sebagai ganti nama, dalam kapsyen itu dia menukar panggilan diri dengan perkataan ‘saya’ yang menunjukkan kemarahannya sudah reda.
Sebelum itu, pelakon drama Surah Buat Maisara memuat naik rakaman video sesi siaran langsung mengenai imbasan kenangan bersama arwah yang meninggal dunia akibat kanser prostat pada 23 Januari lalu.
Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu adalah pada minggu sebelumnya yang ketika itu tahap kesihatan ayahnya semakin merosot.
Dalam sesi tersebut, Zarina yang menangis akibat terlampau sedih meminta pengikutnya menghargai orang tua mereka ketika masih ada hayat dikandung badan. – HIBGLAM