PELAKON Zed Zaidi menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik licik pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan meniru wajah dan suara selebriti demi melariskan produk.
Ujar Presiden Persatuan Seniman Malaysia itu, pihaknya ada menerima aduan daripada beberapa selebriti yang berasa bimbang kredibliti mereka tercemar akibat penipuan itu.
“Perhatian! Sila berhati-hati, kalian semua patut tahu betapa bahayanya AI kepada kalian terutamanya mereka yang bergelar selebriti dan dikenali ramai.
“Baru-baru ini saya ada dapat aduan daripada seorang artis terkenal yang memberitahu ada orang menggunakan suara dan wajahnya untuk menjual barang. Tahu apa barang itu? Dia jual seluar dalam.
“Peniaga itu menggunakan AI tiru suara artis dan dalam masa sama tiru juga wajah artis itu untuk jual seluar dalam dan melariskan produk. Jadi hati-hati dengan AI!,” katanya menerusi sebuah video dalam TikTok.
Tinjauan HibGlam menerusi ruangan komen video tersebut mendapati rata-rata netizen menzahirkan rasa terkejut bahkan ada yang mengakui pernah terpedaya dengan taktik licik tersebut.
Malah, mereka turut menyebut nama beberapa selebriti yang dikatakan menjadi mangsa penggunaan AI kerana pernah melihat video artis berkenaan mempromosikan produk tersebut.
“Saya pernah nampak Datuk Seri Siti Nurhaliza jual seluar dalam, sama sangat muka dan suara. Lisa Surihani dan Aaron Aziz pun ada. Muka sama tapi mulut tak bergerak ikut dialog,” komen seorang netizen.
“Aku dah agak, aku sendiri juga terkena, terbeli boxer dengan Aaron Aziz. Rupa-rupanya bukan produk dia pun, kena tipu dengan peniaga yang menggunakan AI. Macam-macam orang sekarang buat demi duit,” demikian komen seorang lagi pengguna TikTok.
Sebelum ini, kecoh dalam TikTok apabila terdapat penjual dalam platform tersebut menyalahgunakan AI dengan meniru wajah dan suara artis popular untuk memancing pembeli membeli.
Antara artis yang kerap ditiru menggunakan teknologi tersebut ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aaron Aziz, Lisa Surihani, Mira Filzah dan ramai lagi. – HIBGLAM