Penganjur tabur janji kosong, Naqiu tawar hati

Sudah banyak kali jumpa untuk bincangan tarikh konsert tapi nampaknya hanya janji kosong.”

Demikian luahan kecewa penyanyi Naqiu apabila hasratnya untuk mengadakan konsert bersama kumpulan Boboy seperti mana yang dijanjikan seorang penganjur belum kesampaian.

Naqiu atau nama lengkapnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib, 37, ketika ditemui HibGlam berkata, sejak 2022 lagi, dia telah dijanjikan seorang penganjur untuk mengadakan konsert istimewa bersama kumpulan Boboy, namun pertemuan demi pertemuan tidak membuahkan apa-apa hasil.

Lebih membuatkan penyanyi itu terkilan apabila pertemuan yang dilakukan bukan hanya sekali, sebaliknya 10 kali yang dianggap hanya membuang masa.

“Ada seorang penganjur datang untuk berjumpa dengan saya dan berbincang tentang konsert bersama Boboy. Bukan sekali, tetapi sebanyak 10 kali sejak 2022.

Walaupun sudah banyak kali berjumpa dan berbincang tentang tarikh, semuanya hanya janji kosong. Rasanya saya hanya jumpa dia untuk buat kemunculan percuma sahaja.

“Penganjur itu hanya sekadar memberi janji palsu. Saya dapat rasakan tujuannya hanya untuk berjumpa dengan saya sahaja. Dia ‘pancing’ saya dengan alasan untuk berbincang tentang konsert. Bila berjumpa, banyak berbual tentang hal lain,” ujarnya.

Berasa tertipu, Naqiu mengakui sudah tawar hati dengan penganjur berkenaan dan akan menolak permintaannya untuk berjumpa lagi selepas ini.

Lama-lama saya jadi tawar hati. Kalau dia hendak jumpa lagi selepas ini, saya akan tolak,” katanya.

Naqiu yang ditemui semasa majlis bersama media bersempena penganjuran persembahan Istimewa, After Hours With Hetty Koes Endang, semalam berkata, dia berasa cukup teruja jika dapat mengadakan sebuah konsert istimewa bersama Boboy dan menganggap kumpulan itu sangat penting dalam hidupnya.

Kata Naqiu, apabila melibatkan Boboy, dia sangat serius dan teliti untuk mengetahui setiap perancangan yang akan dibuat.

Sudah tentu saya mahukan sebuah konsert bersama Boboy. Sebab itu jika ada penganjur yang berminat, saya tidak kisah untuk ‘turun padang’ dan berbincang.

“Tapi jika melibatkan persembahan solo, saya akan serahkan sepenuhnya kepada pihak pengurus. Saya bukannya minta bayaran terlalu tinggi atau layanan Istimewa.

Boboy sudah wujud sejak 2001 lagi. Jadi mana mungkin bayaran yang diterima sama harganya sewaktu awal kemunculan kami dahulu. Jangan main-main, sebab Boboy sangat bermakna dalam hidup saya,” tegasnya.

Bercakap tentang After Hours With Hetty Koes Endang yang bakal berlangsung pada 24 Februari nanti, Naqiu berkongsi rasa teruja apabila diundang sebagai penyanyi yang bakal berkongsi pentas dengan legenda dari Indonesia itu.

Kata Naqiu, dia menganggap Hetty bukan sahaja sebagai juri sepanjang pembabitannya dalam program Gegar Vaganza, bahkan juga sebagai ibu dan juga guru yang telah banyak mencurahkan ilmu kepadanya,

Saya sudah anggap bonda (panggilan Hetty) sebagai ibu. Dia banyak mengajar saya dalam membuat persembahan.

“Sudah tentu saya gembira apabila bakal berkongsi pentas dengannya nanti,” ujar Naqiu.

Tiket After Hours With Hetty Koes Endang yang bakal diadakan di Grand Shah Alam Convention Centre (SACC) boleh dibeli secara dalam talian di www.tix-box.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok