“MALANG tak berbau, salah ‘landing’.
Demikian kata pengacara Haziq Hussni yang patah pergelangan tangan gara-gara salah ‘mendarat’ selepas menjaringkan gol bola sepak.
Katanya, kejadian tersebut berlaku ketika dia menyertai perlawanan persahabatan bola sepak di Setia Alam, Shah Alam pada malam Ahad lalu.
“Saya menjaringkan gol dengan kaki kiri, mungkin tidak biasa menggunakan kaki kiri membuatkan saya hilang imbangan dan jatuh.
Dalam keadaan tersebut tangan saya cuba menahan badan, tetapi waktu itu saya sangka terkehel sahaja sebelum terus dibawa ke hospital.
“Memang sangat sakit lebih-lebih lagi ini insiden patah pertama yang saya alami sepanjang bermain bola sepak. Sebelum ini setakat luka saja,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Pemilik nama sebenar Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni, 33, sebelum ini berkongsi gambar mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan dengan tangan berbalut.
Pada hantaran berkenaan, bekas penyampai radio itu menunjukkan keadaan tangannya yang membengkak bersama foto hasil sinar-X.
Menurut Haziq lagi, dia juga berdepan kesakitan berganda sewaktu prosedur memperbetulkan bahagian yang terseliuh atau mengalami dislokasi.
Sakitnya memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata ketika doktor membetulkan kedudukan sendi akibat kesan terkehel itu.
“Buat masa ini tangan saya terpaksa dipakaikan plaster dari pergelangan sehingga ke bahagian siku yang dijangka dibuka esok atau lusa,” ujarnya.
Akuinya, produser memasukkan besi pada bahagian tulang patah pula hanya dapat ditentukan pada pertemuan susulan dengan pakar esok.
“Ikutkan selepas produser masukkan besi selesai, plaster ini sudah boleh dibuka. Insya-Allah esok atau lusa, tengok dulu apa kata doktor,” katanya.
Malah personaliti penyiaran yang bakal membintangi drama pertama bulan depan itu sedia untuk mula bekerja selepas seminggu berehat.
“Jadual kerja yang sudah disusun awal terutama mengendalikan acara mungkin dapat saya penuhi, cuma untuk program televisyen akan ditangguhkan dulu.
Bagi drama pula, ikutkan saya akan masuk set penggambaran pada pertengahan Februari dan rasanya tiada masalah untuk berlakon memandangkan plaster waktu itu sudah dibuka, manakala babak diberikan juga tidak berat.
“Memang saya berdebar-debar kerana diuji menjelang penggambaran drama pertama, tetapi tak mengapa ini semua dugaan kecil,” katanya. – HIBGLAM